PETALING JAYA: Minyak dan gas, pertanian dan tenaga merupakan antara tumpuan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan.
Lawatan Perdana Menteri ke negara Asia Tengah yang terletak di pesisir timur Laut Kaspia itu dipenuhi dengan beberapa pertemuan peringkat tinggi.
Pagi ini, beliau dijadual menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin negara berkenaan.
Anwar dan Berdimuhamedov kemudian akan mengadakan mesyuarat dua hala serta menandatangani kenyataan bersama, selain menyaksikan pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimuktamadkan oleh kedua-dua kerajaan.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan status semasa hubungan dua hala dan meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan, digital serta sains dan teknologi.
Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.
Selain menandatangani kenyataan bersama sempena lawatan rasmi itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara dan MoU antara institut hal ehwal luar kedua-dua negara.
Anwar dan Berdimuhamedov turut dijadual menyaksikan pemeteraian MoU antara Kementerian Pengangkutan dengan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan, MoU antara Akademi Sains Malaysia dengan Akademi Sains Turkmenistan serta beberapa dokumen berkaitan sektor minyak dan gas.
Selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan tengah hari yang diraikan oleh Berdimuhamedov di Istana Presiden sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Turkmenbashi Ruhy.
Pada sebelah petang, beliau akan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama Berdimuhamedov di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan sebelum mengadakan sidang akhbar bersama media Malaysia bagi mengakhiri lawatan tersebut.
Pada 2025, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, meningkat sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga kekal sebagai destinasi pelaburan utama Petronas dengan jumlah pelaburan syarikat itu di negara berkenaan mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 hingga kini. –UTUSAN










