PETALING JAYA: Pihak berkuasa agama perlu menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung dakwaan seorang individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam yang tular di media sosial.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, isu berkenaan amat serius kerana membabitkan kesucian akidah umat Islam, khususnya jika membabitkan penyertaan dalam upacara pemujaan, penyembahan atau ritual yang bertentangan dengan prinsip tauhid.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan individu berkenaan terbabit dalam ritual pemujaan itu benar, perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan tuntutan akidah Islam.
Katanya, Islam mengiktiraf kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun umat Islam perlu memelihara batas akidah yang tidak boleh dikompromi.
“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 48, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan Dia mengampunkan dosa selain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya’,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, penyelarasan tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dilakukan susulan isu tular beberapa rakaman video di media sosial yang didakwa memperlihatkan individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, Jakim turut memanjangkan laporan berhubung perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri untuk semakan dan siasatan lanjut. – UTUSAN











