PETALING JAYA: Seluruh pergerakan rondaan Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di Lubnan digantung sementara waktu ekoran susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) Sektor Timur yang berlaku pada pukul 11.20 malam waktu tempatan semalam.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, pasukan kini beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) serta Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat sebagaimana ditetapkan oleh Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Katanya, ATM menegaskan pendirian bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung ke atas pasukan pengaman adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Seluruh anggota Malbatt 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas, susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7.
“ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik, ” katanya hari ini.
Seorang anggota pengaman yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh manakala dua lagi cedera selepas peluru mortar mengenai kedudukan mereka di selatan Lubnan.
Dalam satu kenyataan, UNIFIL memaklumkan anggota pengaman itu mengalami kecederaan parah apabila peluru mortar mengenai kedudukannya berhampiran Marjayoun, tenggara Lubnan pada lewat malam Rabu. – UTUSAN










