ANALISIS: Kerusi DAP ‘deposit tetap’ PH di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

ANALISIS: Kerusi DAP ‘deposit tetap’ PH di Negeri Sembilan

ANTHONY Loke Siew Fook (duduk, tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 2023, DAP mencatatkan prestasi cemerlang apabila memenangi kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Jumlah itu menjadikan DAP penyumbang terbesar kepada keseluruhan 17 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, dengan PKR memenangi lima kerusi manakala baki satu kerusi dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah).

Jika diteliti keputusan itu, hampir kesemua kerusi dimenangi DAP diperoleh dengan majoriti selesa, malah tidak ada yang dikategorikan sebagai kerusi marginal.

Majoriti terbesar dicatatkan di DUN Bukit Kepayang apabila penyandangnya, Nicole Tan Lee Koon menang dengan majoriti 19,684 undi.

Majoriti paling ke­cil pula direkodkan di DUN Chennah disandang Anthony Loke Siew Fook yang memperoleh kelebihan 2,200 undi.

Menjelang PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, apakah situasi yang bakal dihadapi DAP?

Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan baru-baru ini mengesahkan bahawa parti itu akan terus mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini, termasuk Chennah yang akan ditandingi beliau sendiri.

Berdasarkan rekod keputusan lalu, tidak keterlaluan jika 11 kerusi tersebut dianggap sebagai ‘deposit tetap’ buat DAP dan PH di Negeri Sembilan. Namun persoalannya, adakah keadaan yang sama akan berulang pada pilihan raya kali ini?

Terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian oleh DAP dan rakan sekutunya dalam PH bagi mengelakkan keadaan terlalu selesa.

Antara faktor utama ialah kemunculan semula lawan tradisi DAP iaitu MCA. Perlu diingatkan bahawa MCA tidak bertan­ding pada PRN lalu manakala cabaran utama DAP ketika itu datang daripada Perikatan Nasional (PN) yang sebahagian besarnya diwakili calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Kali ini, MCA dijangka kembali ke gelanggang dengan semangat baharu serta sokongan pengundi tradisi Barisan Nasional (BN) yang masih setia.

Selain itu, sentimen semasa pengundi juga berpotensi memberi kesan kepada prestasi DAP. Keputusan PRN Sabah baru-baru ini menyaksikan penolakan pengundi wajar diberi perhatian.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada sentimen tersebut akan turut mempengaruhi corak pe­ngundian di Negeri Sembilan dan Johor.

Jadi, di manakah kerusi yang berpotensi menjadi cabaran kepada DAP? Menurut sumber dalaman PH Negeri Sembilan kepada Utusan Malaysia, tiga kerusi yang perlu diberi perhatian ialah Chennah, Temiang dan Rahang.

Menurut sumber itu, kedudukan ketiga-tiga kerusi berkenaan tidak boleh dipandang mudah kerana komposisi pengundinya agak seimbang, khususnya di DUN Temiang.

Selain itu, kehadiran pe­ngundi awal dalam kalangan anggota tentera dan polis turut dilihat sebagai faktor yang perlu diambil kira. Katanya, kecende­rungan pengundi awal terhadap PH, khususnya DAP masih sukar diramalkan ketika ini.

Berdasarkan daftar pemilih terkini yang diwartakan pada April lalu, DUN Temiang mempunyai kira-kira 977 pengundi polis manakala DUN Rahang pula mempunyai 1,442 pengundi tentera.

Dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN hari ini, parti-parti yang berhasrat mencabar penguasaan DAP di 11 kerusi berkenaan nampaknya perlu bekerja lebih keras.

Walaupun DAP dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan rekod kemenangan lalu, pilihan raya tetap merupakan medan yang sukar diramal.

Barangkali ada parti yang tidak sempat membina pe­ngaruh dan mengukuhkan jentera di lapangan ekoran pilihan raya mengejut ini, namun tempoh kempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Jika gagal, 11 kerusi tersebut akan terus kekal dalam genggaman DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN