Alliance Bank, 99 Speed Mart tawar ansuran 0% pembelian pukal PKS - Utusan Malaysia

Alliance Bank, 99 Speed Mart tawar ansuran 0% pembelian pukal PKS

DARI kiri, Ketua Transformasi Perniagaan SME Digital & Pemerolehan Peniaga Alliance Bank Malaysia Berhad, Kevin Shum, Raymond Chui, Albert Lee dan Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, Yong Eng Kwang ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkenalkan pelan ansuran 0 peratus pembelian pukal PKS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart) memeterai kerjasama strategik bagi memperkenalkan pelan pembayaran ansuran 0 peratus menerusi platform e-dagang pembelian pukal dalam talian, 99 Bulksales.

Inisiatif yang disasarkan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemilik perniagaan, peruncit dan pedagang itu bertujuan meringankan pengurusan aliran tunai perniagaan serta membantu memperkasakan pengembangan operasi mereka.

Kemudahan eksklusif untuk pemegang kad kredit Alliance Bank (termasuk kad kredit perniagaan) itu membolehkan transaksi dalam talian bernilai RM500 ke atas di laman web rasmi 99 Bulksales ditukarkan kepada pelan pembayaran ansuran 0 peratus selama tiga bulan.

Penyelesaian kewangan digital ini dijangka membantu mengurangkan beban bayaran pendahuluan untuk pembelian stok berskala besar, membebaskan modal kerja, sekali gus membolehkan perniagaan meningkatkan jualan dengan lebih berkesan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi semasa.

Selain PKS, pengguna biasa yang mempunyai isi rumah yang besar juga boleh memanfaatkan pelan ini asalkan memenuhi syarat perbelanjaan minimum tersebut.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan dan Perbankan Transaksi Alliance Bank, Raymond Chui berkata, Alliance Bank komited sebagai rakan perbankan yang bertanggungjawab menerusi penyediaan alat digital yang praktikal dan berpaksikan pelanggan, di samping memperkukuh penggunaan penyelesaian pembayaran tanpa tunai di Malaysia.

“Melalui kerjasama dengan 99 Speed Mart ini, kami dapat mendekati rangkaian pemilik perniagaan yang lebih luas dengan penyelesaian bermakna untuk menyokong ekosistem PKS negara dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Silih Ganti 99 Speed Mart, Albert Lee Yan Zhong berkata, inisiatif ini merupakan pelaksanaan pelan pembayaran ansuran 0 peratus yang pertama buat kumpulan 99 Speed Mart, sekali gus menaik taraf penawaran e-dagang platform 99 Bulksales mereka.

“Kami yakin menerusi program ini, kedua-dua pihak iaitu pengguna dan perniagaan dapat meraih manfaat daripada harga yang lebih rendah, pembelian yang lebih besar dan mengurangkan impak negatif terhadap aliran tunai mereka,” jelasnya.

Pilihan pelan ansuran ini akan disepadukan sepenuhnya ke dalam laman web 99 Bulksales bermula Jun 2026, yang mana pemegang kad yang layak hanya perlu memilih pelan tersebut semasa proses pembayaran tanpa memerlukan sebarang permohonan atau dokumen tambahan.

Dalam pada itu, Alliance Bank turut menyegarkan nilai cadangan pelanggan bagi Kad Kredit Perniagaan Mastercard Platinum miliknya dengan menawarkan pulangan tunai sehingga 1.25 peratus untuk semua perbelanjaan, termasuk pulangan tunai bonus bagi pembayaran utiliti seperti elektrik, air dan bil telekomunikasi.

Bagi menurunkan lagi kos operasi PKS, yuran tahunan kad berkenaan boleh dikecualikan sekiranya pelanggan memiliki akaun perniagaan atau pinjaman dengan bank, atau mencapai perbelanjaan tahunan minimum RM12,000, selain menikmati diskaun sehingga 90 peratus untuk pelbagai penyelesaian perniagaan melalui Mastercard Easy Savings Specials. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN