BENUT: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persefahaman untuk tidak melancarkan serangan antara satu sama lain sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara matang dan berhemah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dipersetujui semua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kepentingan lebih besar di peringkat nasional meskipun bertanding sesama sendiri di Johor.
Menurut beliau, kepimpinan parti memahami keperluan mengekalkan hubungan baik dan mengelakkan kempen bersifat menyerang, sebaliknya memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon serta menawarkan khidmat kepada rakyat.
“Ya kita berkawan dan berlawan dalam gelanggang yang sama, dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat. Namun, kesefahaman itu telah kita tanamkan supaya kita tidak serang pihak lawan walaupun berbeda pandangan dan pendapat untuk Johor.
“Saya harap di Johor, pendekatan untuk tidak menyerang mana-mana parti yang tidak bersama apatah lagi untuk mempromosikan calon-calon kita, biar ia dibuat dengan penuh kesantunan dan hemah,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd. Sumali Reduan, di sini, semalam.
Mengulas dakwaan kononnya BN menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada PRN Johor, Ahmad Zahid menafikan perkara itu dan menegaskan gabungan tersebut kekal dengan pendirian bertanding secara solo.
Katanya, keputusan meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN membuktikan BN tidak menggunakan lambang mana-mana parti lain. – UTUSAN










