50 ahli PKR Parit Buntar keluar parti sertai Bersama - Utusan Malaysia

50 ahli PKR Parit Buntar keluar parti sertai Bersama

AHLI PKR Parit Buntar yang mengumumkan keluar parti dalam sidang akhbar di Parit Buntar semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seramai 50 ahli PKR Cabang Parit Buntar mengumumkan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parit Buntar, Akhbar Ridzuan Jamaludin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian mendalam terhadap perkembangan semasa parti, termasuk isu berkaitan Pemilihan PKR 2025 yang didakwa menimbulkan pelbagai persoalan berhubung ketelusan, keadilan serta integriti proses demokrasi dalaman.

Beliau mendakwa, keadaan itu telah menghakis keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan parti, sekali gus menyebabkan ramai anggota serta aktivis yang sebelum ini setia bersama PKR mula mempersoalkan semula komitmen parti terhadap agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan sejak sekian lama.

“Keadaan ini turut menyumbang kepada kehilangan ramai pemimpin dan aktivis berpengaruh yang sebelum ini menjadi aset penting parti, sehingga PKR kini dilihat berdepan cabaran besar dari sudut kepimpinan dan hala tuju masa depannya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan Wanita Keadilan Negeri Perak, Farah Amira Jamaludin; Pengerusi Tetap AMK Parit Buntar, Mohamad Adely Abd Rahim, Timbalan AMK, Affendi Saidi serta 50 ahli PKR Parit Buntar yang terlibat dalam pengumuman berkenaan.

Menurut Akhbar Ridzuan, Parit Buntar mempunyai lebih 2,000 ahli PKR berdaftar dan pelbagai lapisan kepimpinan termasuk Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan AMK yang dijangka turut mengambil langkah keluar parti dalam masa terdekat bagi menyertai parti Bersama.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Keadilan Negeri Perak, Farah Amira Jamaludin berkata, kira-kira 20 anggota Jawatankuasa Wanita telah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan menyertai parti Bersama.

“Bagi kami, keputusan ini dibuat kerana kami merasakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan serta hala tuju parti yang ketika ini sudah tidak lagi berada pada tahap yang diharapkan,” katanya.

Beliau turut mendakwa ramai anggota wanita dalam parti masih mahukan perubahan dan dijangka turut menyertai gelombang keluar parti bagi menyertai parti Bersama yang disifatkan sebagai wadah perjuangan baharu.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN