KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap tidak pernah menunjukkan sebarang rasa kesal atas kesalahan yang dilakukan sebaliknya memilih untuk menyalahkan orang lain.
Kegagalan untuk menunjukkan rasa kesal itu, jelas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, menjadi faktor yang sangat relevan untuk dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman setimpal kepada bekas Presiden Umno itu.
“Mahkamah ini berpendapat bahawa perasaan benci orang awam (atas penyelewengan yang berlaku) wajar diterjemahkan dalam hukuman yang dijatuhkan memandangkan skala kesalahan yang besar serta reputasi negatif kepada negara.
“Mahkamah ini juga perlu mempertimbangkan dengan sewajarnya bahawa tertuduh tidak menunjukkan atau memperlihatkan sebarang penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan sebaliknya memilih untuk meletakkan kesalahan terhadap skandal ini kepada pihak lain termasuk pengurusan 1MDB.
“Ketiadaan penyesalan ini merupakan faktor yang sangat relevan untuk dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman,” kata hakim itu.
Menurut Hakim Sequerah, sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah telah mengambil kira pelbagai faktor rayuan yang telah dikemukakan oleh pembelaan termasuk tempoh 47 yahun Najib berkhidmat dalam perkhidmatan awam termasuk sebagai Perdana Menteri.
“Persoalannya ialah sama ada rekod perkhidmatan awam dan sumbangan kepada negara ini mengatasi pelanggaran amanah yang diberikan kepada tertuduh, mengambil kira kedudukan tinggi dan mulia yang pernah disandangnya.
“Jumlah liabiliti keseluruhan berkaitan 1MDB mencecah hampir RM50 bilion yang sangat besar yang mana kira-kira RM42 bilion telah dibayar oleh Kerajaan termasuk prinsipal dan faedah dan walaupun usaha pemulihan telah menghasilkan RM29 bilion masih terdapat hutang besar sekitar RM13 bilion yang belum diselesaikan.
“Satu lagi faktor relevan untuk dipertimbangkan ialah kerosakan yang telah berlaku terhadap reputasi negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kesan skandal kewangan ini telah bergema di seluruh dunia. Kesan dan akibat daripada skandal ini masih berterusan dan terdapat obligasi kewangan semasa yang masih perlu dipenuhi. Ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang rakyat Malaysia juga.
“Di tengah-tengah skandal ini, bukanlah seorang pekerja biasa yang melihat peluang untuk mengeksploitasi kelemahan sistem tetapi seorang individu yang berada pada kedudukan tertinggi kuasa dan telah menggunakan serta mengeksploitasi kedudukan tersebut untuk melaksanakan tindakan tertentu serta mempengaruhi lembaga 1MDB bagi melaksanakan transaksi luar biasa dengan tergesa-gesa.
“Penyalahgunaan dan pengkhianatan amanah tersebut ketika memegang jawatan tinggi itu mesti diambil kira sebagai pertimbangan utama dalam proses menjatuhkan hukuman,” ujar Hakim Sequerah.
Selain itu,berdasarkan rekod rasmi dan disahkan serta pengesahan daripada Pusat Pendaftaran Jenayah Malaysia dan Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, selepas semakan butiran dan rekod cap jari tertuduh mengesahkan bahawa Najib disenaraikan dalam daftar jenayah seperti dalam laporan RJ2B (laporan rekod jenayah lampau) yang dilampirkan.
“Setelah mengambil kira semua faktor ini termasuk magnitud jenayah dari segi jumlah wang yang besar serta skala kesan skandal tersebut termasuk obligasi kewangan negara yang masih berterusan untuk generasi kini dan akan datang, mahkamah ini berpendapat bahawa hukuman berbentuk deterrent (mencegah) adalah wajar dan ini mengatasi rekod perkhidmatan awam serta sumbangan tertuduh kepada negara,” kata Hakim Sequerah.
Hakim Sequerah turut memetik penghakiman oleh Hakim Sir George Malcolm Hilbery atau Hilbery J menyatakan ‘unsur kepentingan awam dipenuhi apabila, pertama, ia berfungsi sebagai penghalang (deterrent) kepada bakal pesalah, dan kedua, ia juga boleh menghalang pesalah tertentu daripada melakukan jenayah sekali lagi, atau mendorongnya untuk berubah daripada seorang penjenayah kepada kehidupan yang jujur.
“Sama ada individu tersebut benar-benar berubah menjadi individu yang lebih baik selepas berlalunya masa dengan merenung kesalahan yang telah dilakukan dan menjalani proses pemulihan adalah sesuatu yang hanya masa yang akan menentukan,” kata hakim itu. – UTUSAN










