1MDB: Duit masuk akaun Najib bukan ‘duit jajan’

1MDB: Duit masuk akaun Najib bukan ‘duit jajan’

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada tindakan diambil oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap kemasukan berbilion wang ke dalam akaun peribadinya adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Menurut Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), jumlah yang masuk ke dalam akaun peribadinya bukannya satu nilai yang kecil.

“Tertuduh (Najib) sendiri memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah mengesahkan bagaimana Tanore memperoleh butiran akaun peribadinya Ambank berakhir 9694 yang mana sejumlah AS$681,000,000 dipindahkan ke dalam akaun tersebut. Tertuduh juga menyatakan bahawa beliau tidak membuat sebarang siasatan mengenai perkara itu.

“Kesemua ini juga mesti dilihat dalam konteks jumlah wang yang sangat besar yang diterima ke dalam akaunnya. This was not chicken feed (Ini bukan jumlah yang kecil). Jumlah yang dipindahkan adalah sangat besar.

“Tindak balas tertuduh dalam hal ini langsung tidak selari dengan kelakuan seorang lelaki munasabah dalam keadaan yang sama walaupun mengambil kira kedudukannya sebagai Perdana Menteri,”kata hakim itu.

Tanore atau Tanore Finance Corporation merupakan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho.

Selain itu, mahkamah turut menyatakan bahawa Najib sebenarnya bukanlah `buta’ dengan penyelewengan yang berlaku sebaliknya beliau juga telah mengambil pelbagai tindakan bagi menjaga kepentingannya.

“Tertuduh telah mengambil tindakan membubarkan Pasukan Petugas Khas 1MDB pada Julai 2015 dan penyingkiran secara tiba-tiba Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai Pasukan Petugas tersebut.

“Tindakan lain ialah penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammed dan usaha memujuk Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar supaya mengeluarkan kenyataan bahawa berbilion ringgit yang dikreditkan ke dalam akaun tertuduh tidak melibatkan sebarang salah laku.

“Kesemua perkara di atas jelas menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kepentingan yang lebih daripada sekadar minat biasa terhadap hal ehwal 1MDB dan turut menonjolkan sejauh mana langkah-langkah yang telah diambilnya untuk melindungi serta mengukuhkan kepentingan tersebut,”kata hakim itu.

Hakim Sequerah juga menyatakan tindakan Najib memulangkan baki wang tersebut kepada keluarga Diraja Arab sebenarnya satu `petunjuk’ bahawa perbuatan itu sebenarnya diatur bagi memastikan tertuduh terus mendapat manfaat daripadanya.

“Walaupun mendakwa telah memulangkan wang derma Arab itu, tertuduh masih menerima kemasukan wang melalui Tanore yang kemudiannya didakwa disokong dengan koresponden dengan pihak Arab Saudi.

“Keterangan tertuduh mengenai derma itu juga bertukar-tukar daripada dakwaan dana tersebut datang daripada Raja Abdullah kemudian didakwa datang dari keluarga Arab sebelum menjadi Putera Saud.

“Daripada menjadikan pemulangan dana itu kelihatan sah di sisi undang-undang, inferens yang tidak dapat dielakkan ialah bahawa pemulangan dana tersebut jelas diatur untuk menyembunyikan asal-usul dana yang tidak sah, sambil memastikan tertuduh terus mendapat manfaat daripadanya,”ujar Hakim Sequerah.

Selain itu, ketiadaan laporan polis yang dibuat terhadap Jho Low berhubung arahan yang tidak datang daripada Najib menunjukkan bahawa ahli perniagaan tidak bertindak secara bebas atau bekerjasama dengan pengurusan 1MDB untuk menipu dan memperdayakan Najib; individu yang pada ketika itu merupakan orang paling berkuasa di negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN