19 individu, lima remaja ditahan disyaki terbabit kegiatan gengsterisme di Keningau

19 individu, lima remaja ditahan disyaki terbabit kegiatan gengsterisme di Keningau

INDIVIDU ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertubuhan haram di Keningau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 19 lelaki termasuk lima remaja ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertubuhan haram atau gengsterisme menerusi operasi bersepadu Op Cantas Bersepadu Gengsterisme, di Keningau 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata operasi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu dijalankan di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau yang dikenalpasti menjadi lokasi kumpulan itu berhimpun.

“Semua ahli kumpulan itu berkumpul di lokasi serbuan untuk memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight’s Of The Right Kepper’s (KRKK) yang diadakan pada 24 Jun setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015.

“Semua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Yampil berkata, pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan menandakan mereka ahli kumpulan KRK.

“Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri.

Beliau berkata, semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan.

Katanya, polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN