SEPANG: Sebanyak 14 sekolah di seluruh negara dikenal pasti bagi pelaksanaan projek rintis Zon Sekolah Selamat yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 20,000 murid dan warga sekolah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini, projek rintis pertama telah dilaksanakan di sebuah sekolah di Brickfields, Kuala Lumpur manakala, baki sekolah lain akan disiapkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Beliau berkata, selain sekolah rintis itu, pihaknya telah mengenal pasti sekolah-sekolah lain di seluruh negara terutama yang terletak berhampiran jalan persekutuan dan jalan negeri yang sibuk serta berisiko tinggi berlaku kemalangan.
“Zon Sekolah Selamat ini melibatkan reka bentuk khas di hadapan sekolah seperti pemasangan bonggol, perabot jalan raya dan pelbagai elemen yang memaksa kenderaan memperlahankan kelajuan.
“Projek ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Malaysia di sini hari ini.
Katanya, statistik menunjukkan secara purata hampir 70 kemalangan berlaku di kawasan sekolah setiap tahun justeru, langkah intervensi itu penting untuk diperluaskan.
Loke berkata, kos pelaksanaan bagi setiap Zon Sekolah Selamat dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 dan beban kewangan itu tidak mampu ditanggung kerajaan.
Loke dalam ucapan berkata, beliau menggalakkan syarikat korporat, pemaju perumahan serta pihak swasta tampil menyumbang dan mengambil sekolah sebagai sekolah angkat bagi melaksanakan projek itu.
“Mana-mana syarikat korporat boleh menaja Zon Sekolah Selamat dan ada syarikat yang boleh mengadaptasi lima hingga 10 sekolah setahun. Jika pendekatan ini berjaya dilaksanakan, lebih banyak sekolah akan dapat dilindungi di bawah inisiatif ini,” katanya.
Katanya, pihaknya mahu memperluaskan program ini kepada ratusan atau mungkin ribuan sekolah yang berisiko namun, ia tidak boleh bergantung kepada peruntukan MKJR semata-mata.
Dalam perkembangan sama, Loke mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada setiap MKJR negeri bagi menampung keperluan operasi dan memperkukuhkan pelaksanaan program keselamatan jalan raya di peringkat negeri serta komuniti.
Katanya, MKJR juga akan terus memperkasa beberapa inisiatif lain termasuk program MySafeRoad yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu kemalangan secara setempat. – UTUSAN










