Satu lawan satu beri kelebihan kepada BN?

Satu lawan satu beri kelebihan kepada BN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Pas supaya penyokong tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak ditandingi berpotensi menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

14 kerusi DUN tersebut ialah Buloh Kasap, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Parit Yaani, Penggaram, Machap, Mengkibol, Tanjung Surat, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nanas dan Kukup yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PH.

Meskipun BN melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk meraih kemenangan, namun PH pula menyifatkannya sebagai pakatan yang tidak jujur dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik.

Pada PRN Johor 2022, kerusi Bukit Batu, Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Perling dimenangi PH manakala BN membabitkan Bukit Pasir, Parit Yaani, Serom, Tenggaroh, Kota Iskandar, Kemelah dan Tiram, selebihnya Bukit Kepong dan Maharani dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed Rahmat berkata, gesaan dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli dan pengundi Pas mengundi calon BN perlu diterjemahkan dalam kertas undi meskipun ia memberi kelebihan buat gabungan tersebut.

“Pertandingan satu lawan satu merupakan satu pertandingan adil dengan kedua-dua pihak mempunyai peluang menang sama rata, tetapi apabila Pas membuat kenyataan itu, kita ada kelebihan.

“Tetapi perkembangan ini bukan bermakna ada kerjasama belakang tabir antara UMNO dan Pas, sebaliknya kedua-dua parti ini ada ideologi perjuangan sama, ada musuh yang sama.

“UMNO dan Pas berkongsi perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keutamaan Pas ketika ini adalah memastikan PH gagal memenangi kerusi di kawasan yang tidak ditandingi.

Keputusan Pas bertanding di hanya 11 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai strategi parti itu, terutama apabila tidak meletakkan calon di beberapa kerusi yang sebelum ini menyaksikan persaingan sengit.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, penyokong diberi kebebasan untuk mengundi mana-mana calon kecuali PH meskipun masih belum menerima sebarang arahan rasmi untuk mengundi calon BN.

“Penyokong diberi kebebasan untuk mengundi mana-mana calon kecuali PH.

“Pas juga telah berbincang bahawa di Johor, biarlah kerajaan negeri terus dipimpin oleh dalam kalangan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Pas dan BN cuba berselindung daripada mengakui wujud kerjasama politik antara mereka meskipun di luar kedua-dua parti dilihat berseteru.

Beliau mendakwa perkembangan itu membuktikan wujud persefahaman politik antara kedua-dua parti walaupun masing-masing terus menafikannya di hadapan umum.

“Kerjasama seperti ini tidak jujur kepada pengundi dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik sekiranya ia diteruskan selepas pilihan raya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×