PETALING JAYA : Sebanyak 127,588 pelarian di Malaysia ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh 2006 sehingga tahun ini.
Data ini direkodkan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) yang bertindak menguruskan penempatan negara ketiga bagi pelarian yang ada di Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Berdasarkan rekod diperoleh Utusan Malaysia, sebanyak 1,214 pelarian telah dihantar ke negara ketiga pada 2006 diikuti 5,599 (2007), 5,979 (2008), 7,567 (2009), 8,171 (2010), 8,500 (2011) dan 10,728 (2012).
Pada 2013 angka pelarian yang dihantar ke negara ketiga iaitu 8,961 diikuti 11,496 (2014), 13,334 (2015), 8,985 (2016), 3,166 (2017), 3,429 (2018), 4,237 (2019) dan 1,191 (2020).
Bagi 2020 pula, sebanyak 1,304 pelarian telah dihantar ke negara ketiga diikuti 4,367 (2021), 8,128 (2022), 8,627 (2023), 1,970 (2025).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tahun ini pula, seramai 635 pelarian di Malaysia telah ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.
“Berdasarkan data penempatan semula pada tahun ini, Australia menerima jumlah tertinggi iaitu 241 orang pelarian, diikuti Kanada (261), New Zealand (123), Amerika Syarikat (empat), United Kingdom (tiga), Jerman (dua) dan Jepun (satu),”katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, majoriti pelarian yang direkodkan adalah dari Myanmar (60 peratus), diikuti Afghanistan (24 peratus) dan Somalia (empat peratus).
Dalam pada itu, Zakaria berkata, daripada jumlah keseluruhan penempatan pelarian dalam tempoh 20 tahun itu, katanya, Amerika Syarikat menerima sekitar 76 peratus manakala Australia menerima 12.5 peratus dan Kanada 5.6 peratus.
Rekod tersebut diperoleh JIM daripada UNHCR yang mana urusan penempatan itu diuruskan dengan kerjasama IOM, syarikat penerbangan serta pihak berkuasa di lapangan terbang.
Katanya, IOM menyediakan sokongan logistik termasuk urusan visa, tempahan penerbangan, penyelarasan transit serta pengiring bagi pelarian yang memerlukan bantuan khas.
“JIM pula hanya terlibat dalam pengeluaran Certificate of Movement (COM),” katanya.
Katanya, sebelum berlepas, IOM turut menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan pelarian sihat dan layak untuk perjalanan serta memenuhi keperluan negara destinasi.
Program orientasi budaya juga dilaksanakan bagi membantu pelarian menyesuaikan diri di negara baharu, termasuk penerangan mengenai hak dan tanggungjawab, sistem kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan serta undang-undang tempatan.
Untuk rekod, bilangan pemegang kad UNHCR yang aktif dan terkini di Malaysia ialah 219,472. – UTUSAN










