12 ditahan gara-gara pertaruhan haram, perjudian dalam talian

12 ditahan gara-gara pertaruhan haram, perjudian dalam talian

DENNIS Lim Kwang Keng (tengah) menunjukkan rampasan berkaitan Op Soga XI yang dilancarkan di Pulau Pinang bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026. UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai 12 lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram serta perjudian dalam talian ditahan menerusi 12 serbuan berasingan yang dijalankan di seluruh negeri ini sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Op Soga XI yang dilancarkan bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

”Seramai 12 lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 27 hingga 64 tahun. Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah 12 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM8,692 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis turut mengesan 12 laman sesawang, platform, aplikasi dan akaun media sosial yang digunakan bagi tujuan pertaruhan bola sepak serta promosi aktiviti perjudian sepanjang kejohanan berkenaan berlangsung.

”Justeru, tindakan menyekat laman web dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan SKMM bagi mengekang kegiatan tersebut daripada terus berleluasa,” katanya.

Dennis berkata, semua suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

”Selain itu, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi mengenal pasti sebarang elemen pengubahan wang haram yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN