Dua beradik mengaku tidak bersalah urus pusat operasi judi dalam talian

Dua beradik mengaku tidak bersalah urus pusat operasi judi dalam talian

DUA beradik antara empat lelaki yang mengaku tidak mengurus pusat operasi judi dalam talian di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Empat individu termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menguruskan sebuah pusat operasi judi dalam talian di Taman Kampung Raja, April lalu.

Tertuduh, Eow Yao Ping, 25; Eow Yong Huang, 30; Tan Yan Zhong, 25; dan Cheng Chean Seng, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dan dengan niat yang sama menguruskan sebuah rumah judi terbuka yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 4.20 petang hingga 6 petang di Taman Kampung Raja pada 7 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda antara RM5,000 hingga RM50,000 serta dipenjara sehingga tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Saffiya Kamaruzaman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, namun pihak pembelaan memohon jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN