KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui beliau meneliti setiap ucapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Beliau berkata, pimpinan PH sudah memaklumkan kepadanya bahawa ceramah itu disasarkan kepada parti-parti dan ahli-ahli dalam gabungan politik PH.
Beliau berkata, ketidakhadiran pemimpin-pemimpin UMNO di ceramah tersebut adalah bukan kerana tidak dijemput tetapi kerana ia adalah untuk kumpulan penyokong PH.
“Bukan soal dijemput atau tidak tetapi crowd (khalayak) itu adalah crowd mereka (PH) dan saya telah perhatikan bahawa dalam kalangan pimpinan atasan parti-parti komponen dalam PH, mereka sangat memahami rujuk perkara dan isu ini.
“Saya teliti setiap ucapan mereka yang berucap dalam perhimpunan itu. Saya menghargai pemimpin-pemimpin utama parti-parti dalam PH terutama di peringkat Persekutuan dan negeri tetapi di peringkat akar umbi itu, saya faham perasaan mereka mungkin tidak dapat gambaran yang jelas tentang apa pendirian yang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara bagi Tahun 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, para pemimpin utama PH menjadikan pentas ceramah di Paroi, Seremban malam tadi sebagai pentas meredakan kemarahan penyokong dan menggariskan tindakan selanjutnya selepas krisis politik tercetus di negeri itu sejak 27 April lalu. – UTUSAN










