KEPALA BATAS: Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) Universiti Sains Malaysia, Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, HADIS Children Therapy dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara telah menganjurkan Program Special Education Fun Motor Skills Day 2026 yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal.
Penganjuran program untuk anak-anak pendidikan khas integrasi (PPKI) itu bukan sekadar aktiviti santai, malah membawa misi besar dalam membantu perkembangan kemahiran motor, komunikasi dan sosial murid-murid ini. Program ini turut menerima suntikan dana dari Yayasan Inovasi Malaysia dan IEEE Engineering in Medicine & Biology Society Malaysia.
Program tersebut disertai oleh 105 orang murid dari empat buah sekolah sekitar sini, iaitu Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Sekolah Kebangsaan Hashim Awang dan Sekolah Kebangsaan Pokok Sena.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Juhari Jusoh, program tersebut bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran kepada murid, malah membuka ruang kerjasama lebih luas antara sekolah, pakar terapi dan institusi pendidikan tinggi.

“Anak-anak ini mempunyai potensi yang besar jika diberi ruang dan pendekatan yang sesuai. Program seperti ini membantu mereka belajar dalam suasana yang menyeronokkan tanpa tekanan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi yang merupakan ketua projek berkata, program tersebut turut menjadi platform penting dalam menjalankan saringan dan pengambilan data bagi sistem Flex EPGTM dan SpeechGate yang memberi fokus kepada pembangunan intervensi dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
“Kita bukan hanya melihat kepada aspek akademik semata-mata, tetapi bagaimana sains, teknologi dan kemanusiaan dapat digabungkan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup anak-anak ini,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, setiap perkembangan kecil yang ditunjukkan oleh peserta sebenarnya membawa makna besar kepada ibu bapa dan para guru yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak tersebut mendapat perhatian sewajarnya.
Dengan penganjuran program seperti ini, diharapkan lebih banyak pihak tampil bekerjasama dalam memperkasa pendidikan khas demi memastikan tiada anak yang tercicir daripada menerima peluang untuk berkembang dan mencapai potensi diri mereka.
Turut hadir, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Zaidi bin Hassan @ Othman.










