SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen dilaporkan menembak jatuh sebuah dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat (AS) di wilayah Marib di timur negara itu, menurut laporan media tempatan pada Isnin.
Penduduk dilaporkan mendengar letupan kuat di ruang udara bandar Marib ketika menyaksikan pelancaran peluru berpandu pertahanan udara dari kawasan Sarwah di barat bandar itu, sebelum dua lagi letupan berlaku di udara, menurut beberapa media tempatan termasuk platform Defense Line.
Menurut Anadolu, aktivis media sosial turut menyebarkan imej yang didakwa menunjukkan serpihan dron AS itu bersama muatan pelurunya yang bertaburan di kawasan padang pasir di timur daerah Wadi, menurut laporan berkenaan.
Defense Line berkata, imej yang tular itu menunjukkan sekurang-kurangnya dua serpihan peluru berpandu AGM-114R9X Ninja, iaitu versi diubah suai daripada peluru berpandu udara ke darat Hellfire yang direka untuk serangan tepat.
Menurut platform itu, imej berkenaan turut mengesahkan serpihan tersebut adalah milik dron MQ-9 Reaper AS, iaitu pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang digunakan Washington bagi operasi pemantauan dan antikeganasan di Yemen.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sama ada oleh kumpulan Houthi mahupun tentera AS berhubung insiden yang dilaporkan itu.










