Unit Ekonomi Kreatif realisasikan potensi belia Sabah

Unit Ekonomi Kreatif realisasikan potensi belia Sabah

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pewujudan Unit Ekonomi Kreatif disifatkan sebagai satu lagi langkah transformasi signifikan kerajaan Sabah dalam usaha memperkasa golongan belia agar lebih kreatif dan inovatif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Unit berkenaan diilhamkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan mendapat dukungan kuat Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Seorang penganalisis dalam bidang Sains Politik dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri berkata, Penubuhan unit itu yang telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini turut menerima sokongan daripada ahli-ahli DUN negeri berkenaan.

“Statistik terkini menunjukkan jumlah belia berusia antara 15 hingga 30 tahun di Sabah mencecah 1.26 juta orang atau 33.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah iaitu 3.76 juta.

“Jumlah tersebut sekali gus membuktikan golongan belia merupakan segmentasi terbesar rakyat Sabah dan memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Al-Azharri Siddiq, Unit Ekonomi Kreatif bakal memainkan peranan penting dalam memastikan belia Sabah berada di landasan tepat untuk merebut peluang daripada dasar-dasar baharu kerajaan.

Katanya, fenomena penghijrahan belia Sabah ke Semenanjung Malaysia telah berlaku sejak awal 1990-an terutama ketika sektor perkilangan berkembang pesat di wilayah berkenaan.

“Oleh kerana Kuala Lumpur adalah hab dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan sosial maka penghijrahan itu tidak dapat dielakkan.

“Lagi pun sejarah pembangunan sejak era kolonial berpusat di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Seremban, Shah Alam, Klang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, Sabah sememangnya kaya dengan sumber minyak dan gas, pertanian, perladangan serta pelancongan, justeru fokus kerajaan negeri terhadap pembangunan belia menerusi MYSpaCE amat tepat pada masanya.

“Pembangunan sosioekonomi dan kestabilan sosiopolitik Sabah pada masa depan turut bergantung kepada kemakmuran ekonomi yang lebih menyeluruh dan dapat dinikmati pelbagai kelompok belia.

“Inisiatif ini mempunyai wawasan jelas untuk membawa belia Sabah lebih maju dalam meneroka peluang ekonomi baharu di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, ekonomi masa kini tidak lagi hanya bergantung kepada pertanian dan industri kecil semata-mata, sebaliknya turut berkembang kepada ekonomi gig, ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi data raya.

“Sabah juga memiliki pelbagai keistimewaan yang masih boleh diterokai secara lebih sistematik termasuk produk alam semula jadi, industri kecil, sukan, kebudayaan dan industri muzik.

“Kewujudan Unit Ekonomi Kreatif membolehkan sektor-sektor ini dikembangkan dalam bentuk lebih kreatif dan inovatif supaya mampu menjana pendapatan lebih besar serta berterusan.

“Saya yakin dengan keazaman politik yang ditunjukkan Hajiji Noor dan Nizam Abu Bakar Titingan, usaha ini mampu melahirkan golongan belia yang lebih produktif, berdisiplin dan berdaya saing tanpa terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa fasa pelaksanaan perlu dirangka bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berterusan.

“Kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta universiti lain juga penting bagi memastikan program ekonomi kreatif mendapat suntikan idea baharu daripada pakar ekonomi dan ahli akademik.

“Kerajaan Sabah boleh meletakkan sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu memandangkan program ini masih baharu di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN