PKB perkukuh pesta buku hibrid, tampil 950,000 judul secara dalam talian di PBAKL 2026

PKB perkukuh pesta buku hibrid, tampil 950,000 judul secara dalam talian di PBAKL 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kota Buku (PKB) memperkukuh pengalaman pesta buku hibrid menerusi PBAKL Dalam Talian @ Book Capital yang membolehkan pengguna membeli buku secara dalam talian sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) bermula hujung bulan ini .

Platform digital itu menawarkan akses kepada lebih 950,000 judul buku daripada 1,015 penerbit dan penjual buku di seluruh negara sekali gus memperluas capaian bahan bacaan kepada rakyat di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar berkata, pihaknya mahu menjadikan PBAKL 2026 sebagai platform yang memperlihatkan bagaimana industri buku Malaysia berkembang seiring teknologi digital, pendidikan dan ekonomi kreatif masa hadapan.

“Hari ini, buku bukan lagi hanya tentang membaca, tetapi turut berkait dengan teknologi, perdagangan hak cipta, pembangunan bakat dan ekonomi kandungan global.

“Kami mahu ruang PKB di PBAKL 2026 menjadi tempat rakyat melihat sendiri bagaimana dunia buku sedang bergerak ke hadapan, daripada pendidikan dan platform digital hinggalah kepada pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Pendekatan itu selari dengan agenda pendigitalan negara dan aspirasi ‘Digital First’ yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan lebih moden, mudah diakses dan berfokuskan rakyat.

PBAKL 2026 akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) dengan PKB membawakan pelbagai pengalaman dunia buku yang merangkumi pendidikan, teknologi digital, perdagangan hak cipta dan budaya membaca.

Menurut PKB, pelbagai aktiviti utama akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di WTC KL bagi memberi pengalaman lebih menyeluruh dan dinamik kepada pengunjung.

“Antara program yang diketengahkan ialah Perolehan Pintar Buku Nasional, Pesta Hak Cipta Asia (Asian Rights Fair – ARF), Pasport Kota Baca serta Reruai Pameran PKB.

“Pendekatan ini mencerminkan peranan PKB sebagai penggerak ekosistem perbukuan negara yang menghubungkan pendidikan, teknologi digital, pembangunan industri kreatif dan perdagangan hak cipta secara lebih tersusun serta selari dengan perkembangan semasa industri buku,” menurut kenyataan itu.

Program Perolehan Pintar Buku Nasional menghimpunkan 34 pempamer, 40 rak pameran serta penglibatan wakil daripada 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dari seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, ARF yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Mei di Bilik Redang, Aras 3 WTC KL bakal menghimpunkan penerbit, ejen hak cipta, pembeli hak penerbitan dan delegasi industri buku dari dalam serta luar negara bagi memperluas peluang perdagangan kandungan dan kerjasama rentas sempadan.

“ARF edisi tahun ini menawarkan jaringan daripada 26 negara, tujuh Duta Hak Cipta ASEAN serta penyediaan 50 meja padanan perniagaan untuk sesi rundingan hak cipta dan jaringan industri antara penerbit tempatan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN