SEREMBAN: UMNO yakin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Sultan Johor berhubung tarikh sesuai untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN adalah hak Sultan Johor atas nasihat Menteri Besar.
Menurutnya, perkara itu bagaimanapun belum dibincangkan di peringkat pusat, namun menyerahkan kepada Onn Hafiz bagi menentukan masa yang sesuai sekiranya ingin membubarkan DUN.
“Pembubaran DUN adalah hak Tuanku Sultan atas nasihat Menteri Besar. Saya tidak ada pengetahuan mengenai perkara tersebut dan saya yakin Menteri Besar akan memberikan nasihat kepada Tuanku bila masa yang sesuai.
“Boleh jadi dalam masa terdekat, boleh jadi lambat, itu terpulang kepada budi bicara Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan 2026 di Sendayan, di sini hari ini.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, beliau juga yakin Onn Hafiz akan berunding di peringkat pusat sekiranya telah mendapat perkenan Tuanku bagi mengadakan PRN di Johor.
“Saya yakin bila Menteri Besar sudah mendapat restu, beliau akan datang berunding dengan peringkat pusat supaya dapat bersama-sama merancang untuk diadakan pilihan raya di Johor,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan satu sidang sidang DUN khas yang akan diadakan pada 24 Jun ini dikaitkan dengan pengumuman pembubaran DUN bagi memberi laluan PRN Johor.
Permintaan agar kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersiap sedia untuk sidang DUN khas tersebut sudah mula disebarkan kepada mereka menerusi aplikasi WhatsApp selepas Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor, mengumumkan gabungan tersebut akan bertanding di 56 kerusi DUN pada Sabtu lalu. – UTUSAN










