KAMPAR: Menjelang sambutan Aidiladha, tukang asah alatan sembelihan haiwan daripada komuniti Orang Asli di sini, Saiful Long, 41, tidak menang tangan menerima tempahan mengasah pisau dan parang.
Saiful berkata, tempahan mula diterima sejak dua minggu lalu dan jumlahnya semakin meningkat apabila sambutan Aidiladha semakin hampir.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan menghantar pelbagai jenis alatan sembelihan untuk diasah bagi kegunaan ibadah korban.
Katanya, antara alatan yang sering dihantar ialah parang pendek, pisau pemotong daging, pisau melapah serta kapak untuk memotong tulang.
“Biasanya seminggu sebelum ibadah korban dilaksanakan, ramai yang datang menghantar pisau dan parang untuk diasah.
“Kebanyakan mereka tidak menghantar satu atau dua bilah sahaja, sebaliknya dalam jumlah yang banyak untuk kegunaan ketika ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Gapes, Sungai Siput dekat sini.
Saiful yang juga Ketua Kebajikan Mualaf Orang Asli berkata, dia sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.
Menurutnya, peralatan sembelihan kebiasaannya tidak dihantar terlalu awal kerana pemilik mahu memastikan ketajaman bilah kekal terpelihara sehingga hari korban.
“Ramai memilih menghantar alatan pada saat akhir supaya pisau melapah kekal tajam ketika digunakan,” katanya.
Tambahnya, perkhidmatan mengasah dan membaiki pisau dilakukan secara percuma sebagai kerja amal sesama mualaf.
“Saya tidak mengenakan sebarang upah. Ini kerja amal yang saya lakukan untuk membantu masyarakat terutama menjelang Aidiladha,” katanya.
Menurut Saiful, dia telah menjalankan kerja amal mengasah alatan sembelihan sejak tujuh tahun lalu setiap kali Aidiladha.
Katanya, proses mengasah memerlukan teknik yang betul bagi memastikan bilah pisau atau parang kekal tajam dan tahan lama.
“Saya mengambil masa agak lama untuk mengasah, kadangkala sehingga satu jam bagi memastikan pisau atau parang benar-benar tajam.
“Bagi memastikan bilah tidak cepat tumpul atau berkarat, saya juga memastikan ia berada dalam keadaan kering sebelum disimpan,” katanya. – UTUSAN










