Tujuh lelaki didenda bakar suar, ganggu tempat awam

Tujuh lelaki didenda bakar suar, ganggu tempat awam

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh lelaki didenda antara RM50 hingga RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membakar suar, melakukan kekacauan di tempat awam di Bukit Bintang Isnin lalu.

Majistret Tg. Shazwany Yasmyn Tuan Roslan, Aina Azahra Arifin dan Majistret Farah Nabihah Muhammad dan menetapkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh-tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.

Di hadapan Majistret Tg. Shazwany Yasmyn tertuduh Mohamad Azhar Mohamed Idris, 31, didenda RM4,500 manakala di hadapan Majistret Farah Nabihah, tertuduh Muhammad Haziq Akmal Mohd. Yazid, 24, didenda RM50.

Sementara itu hadapan Majistret Aina Azahra pula, lima tertuduh Amir Adzim Shahrul Nizam, 25, Khairul Hamizan Zainudin, 28, Muhammad Izz Mifzal Mirza Mohd Noordzalie, 22, Muhammad Ariff Aiman Mohamed Nasir, 23 dan Muhammad Ikhwan Daniel Azman, 25, masing-masing didenda RM400.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhar didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda telah berhenti dengan sengaja di tengah lampu isyarat yang mungkin bahaya kepada pengguna jalan raya di lampu isyarat persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang, pada pukul 2.07 pagi, 18 Mei lalu.

Muhammad Haziq Akmal pula didakwa mencetuskan api dengan membakar suar yang membahayakan keselamatan awam di persimpangan Jalan Bukit Bintang pada masa dan tarikh sama.

Dalam pada itu lima lagi lelaki didakwa bersama-sama melakukan mudarat awam dengan melakukan gangguan dan kekacauan di tempat awam, di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Semasa prosiding, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Go, Iman Nurhidayah Ezam dan Nurbatrisyia Mohd Razib manakala peguam Khairul Muktar Mkhddan Simret Singh mewakili kesemua tertuduh.

Sebelum ini media melaporkan cubaan mempromosikan jualan pakaian menerusi aksi konvoi liar dan pembakaran suar di tengah jalan berhampiran Bukit Bintang membawa padah apabila seramai 15 individu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan susulan video tular yang memaparkan sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda serta motosikal scrambler elektrik sambil melakukan aksi yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan tumpuan pelancong itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN