Tiga bulan bentang draf pinda Akta Mara - Utusan Malaysia

Tiga bulan bentang draf pinda Akta Mara

ANWAR Ibrahim melawat reruai pameran ketika Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam. Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempoh tiga bulan diberikan oleh Perdana Menteri kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi penyediaan draf pindaan Akta Mara 1966 sebagai komitmen Kerajaan Per­sekutuan untuk memastikan agen­da pemerkasaan bumiputera kekal utuh.

Meskipun pada awalnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan tempoh hingga akhir tahun ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat, Mara tidak seharusnya berle­ngah untuk mempersiapkannya demi kepentingan bumiputera.

Anwar berkata, agenda bumiputera dilaksanakan lebih lantang, tegas dan berani sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Katanya, kerajaan tidak pernah mendukung elitisme hingga meminggirkan kepentingan bumiputera seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya harap draf pertama, (walaupun) Timbalan Perdana Menteri arah siap sebelum akhir tahun.

“Tidak perlu tunggu. Ini semua di hadapan saya (ada) pakar-pakar, hendak tunggu sampai tujuh atau lapan bulan sebab apa? Beri draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, dalam kerangka dasar lebih besar, kerajaan tetap mengimbangi antara pengiktirafan merit dan keperluan menjaga kepentingan majoriti.

Katanya, ia termasuklah keputusan memberi tempat secara automatik ke universiti kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A.

“Dalam masa yang sama, 90 peratus anak bumiputera turut diberikan peluang melalui program matrikulasi, sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan.

“Justeru, dalam perbahasan, jangan hanya memilih satu aspek sahaja tanpa melihat keseluruhan dasar secara menyeluruh, jangan cetuskan persepsi persaingan ‘zero-sum game’ (permainan sifar-jumlah),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pindaan Akta Mara 1966 akan berfungsi sebagai benteng pertahanan perundangan bagi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera kekal utuh, meskipun berlaku perubahan kepemimpinan negara.

Beliau berkata, ia bertujuan meletakkan asas tatakelola dan peraturan lebih ketat supaya hala tuju Mara kekal konsisten dalam memartabatkan kepentingan bumiputera tanpa dipengaruhi faktor politik.

“Kita tidak mahu agenda Mara ditukar kerana bertukar kepimpinan. Kita mahu ia terus menjaga agenda bumiputera walau siapa pun yang memimpin ketika itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pengukuhan akta itu amat kritikal bagi menutup ruang ketirisan serta kebocoran dana, memandangkan Mara kini memikul amanah besar dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM23 bilion.

Beliau turut berkongsi hasrat untuk melihat Mara menjadi sebuah organisasi mandiri menjelang penubuhannya ke-100 tahun tanpa perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan.

Katanya, impiannya adalah untuk meletakkan Mara ke tahap mampu menjana pendapatan hasil pelaburan strategiknya sendiri dan terus membantu golongan bumiputera.

Sementara itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agensi itu kini berada di fasa akhir bagi meneliti semula akta yang telah berusia enam dekad.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan meletakkan asas perundangan yang lebih kukuh bagi memperkasakan aspek tatakelola dan tadbir urus institusi berkenaan agar kekal berintegriti dalam jangka masa panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×