TRISHA Ooi pelakon cantik yang tidak perlu mendedahkan auratnya untuk mengumpan perhatian. Malah, keseksiannya terserlah tanpa perlu berpakaian mencolok mata.
Pemilik nama sebenar Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi ini sedar yang bahawasanya dia dididik untuk mempertaruhkan bakat, bukannya kecantikan dan keseksian.
Kerana itu, setiap imej yang ditampilkannya diperhalusi agar tidak terlalu terdedah di mata umum.
“Seksi itu subjektif. berkemban atau berbikini tanpa tujuan mungkin tidak sesuai dengan orang Timur seperti saya.
“Berpakaian seksi bukan imej yang saya cuba tampilkan. Berpada-padalah dalam berpenampilan. Kalau disuruh berkemban dalam filem, saya buat tetapi perlu disesuaikan dengan jalan cerita.
“Contohnya, dalam filem Pagari Bulan, di mana ada babak yang memerlukan saya berkemban. Saya buat kerana sesuai dengan penceritaan. Tetapi kalau diminta seksi tanpa tujuan, tidaklah,” katanya.
Dibesarkan di Kuala Lumpur, Trisha yang berusia 26 tahun tidak pernah bersikap degil terhadap teguran. Ya, adakalanya, berpakaian seksi atas tuntutan naskhah mengundang kecaman.
“Saya terima teguran dan pandangan, tidak pernah saya mendabik dada. Saya tidak boleh tutup mulut orang. Kalau ditegur bermaksud orang sayang. Jadi, saya bersyukur menerima perhatian,” katanya lagi.
Trisha bagaimanapun bersyukur kerana tidak pernah dimanipulasi mana-mana penerbit mahupun pengarah untuk berpakaian kurang enak tanpa tujuan.
“Setakat ini Alhamdulillah tiada penerbit yang meminta saya memakai pakaian seksi.
“Setiap projek lakonan yang ditawarkan saya dan pasukan akan menilai. Kalau ada perkara yang mendatangkan rasa tidak selesa, saya akan beritahu. Tetapi setakat ini tidak pernah lagi ada masalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada dua adik beradik ini mengakui kekok sebaik melangkah ke dunia lakonan yang memandang penampilan.
“Bila bercerita pasal pelakon perempuan, ideanya adalah seseorang itu perlu cantik, seksi dan sebagainya. Saya cuba menjadi seperti itu.
“Tapi lama kelamaan, saya sedar yang okey sebenarnya menjadi diri sendiri. Tidak perlu menjadi orang lain.
“Kalau saya seorang yang lasak, maka lasaklah saya. Saya tidak perlu menjadi apa yang orang luar inginkan. Itu pandangan mereka.
“Saya hanya perlu pekakkan telinga dan jadi diri sendiri,” kongsinya.
CINTA? JIKA ADA KENAPA NAK BERAHSIA
“Saya tidak ada masa untuk bercinta.”
Demikian jawapan Trisha apabila diusik kisah peribadi. Iyalah, gadis muda dan cantik mustahil belum bertemu pasangan istimewa.
“Alhamdulillah, dalam satu ke dua tahun ini, rezeki saya tidak pernah putus. Jadi, saya fokus kepada keluarga sahaja.
“Saya tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang. Mungkin masanya belum sampai.
“Kalau ada kenapa mahu berahsia. Jika sudah sampai jodoh itu, lebih elok saya minta doa yang baik,” kongsinya.
Dalam masa sama, Trisha mengakui dia pasangan setia, justeru kalau bertemu jodoh tentu yang diharapkan sampai ke jenjang pelamin.
“Saya kalau kenal, akan setia. Daripada tunggu kekasih tiba, lebih baik saya tunggu anak saudara,” selorohnya.

NAR’SATA: SEKUTU SETAN
Detik 12 Mei ini menjadi titik pemula selepas kemenangannya Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-33 menerusi filem Janna Endoro.
Nar’sata sebuah filem thriller seram, mengetuk pintu tepat ketika Trisha menantikan sebuah naskhah yang mencabar kebolehan lakonannya.
“Sebenarnya selepas kemenangan itu, saya menjadi risau dengan pemilihan karya selepas filem Janna Endoro kerana saya harus membuktikan sesuatu.
“Tetapi, saya sangat bersyukur apabila filem ini mengetuk pintu hati saya. Inilah filem yang saya nantikan selepas Janna Endoro.
“Menerusi Nar’sata: Sekutu Setan ini, saya mendapat banyak peluang untuk menonjolkan kemampuan diri,” katanya.
Buat pertama kali juga, Trisha yang melakonkan watak Balqis, diletakkan di bawah pengarahan sutradara tersohor, Pierre andre.
“Ini adalah pertama kali saya melakonkan watak seram yang berat. Sebelum ini saya lebih kepada genre aksi atau komedi romantik.
“Cerita ini diarahkan oleh Pierre Andre. Kali pertama juga bekerjasama dengan beliau. Pada masa sama, saya digandingkan dengan Khatijah Tan, Namron, Ashraf Muslim, Mawar Rashid dan ramai lagi,” kongsinya.
Nar’Sata: Sekutu Setan terbitan Metrowealth Pictures turut memberi peluang kepada pelakon kacukan Cina Melayu ini untuk mengatasi keberanian menerusi babak-babak yang mencabar.
“Contoh seperti ketika saya perlu berada dalam lubang kubur yang dibina mengikut kiraan sebenar, dalam keadaan hujan dan saya dibiarkan sendirian.
“Jam menunjukkan pukul 4 pagi, dalam keadaan senyap dan berseorangan. Itu adalah salah satu babak yang mencabar bagi saya,” kongsinya.










