Dilihat sebagai ‘orang Hamzah’ punca digantung Bersatu

Dilihat sebagai ‘orang Hamzah’ punca digantung Bersatu

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dilihat sebagai rapat dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipercayai antara punca Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung dan memecat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti diumumkan semalam.

Mengakui perkara itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz berkata, tindakan dikenakan ke atasnya adalah disebabkan pimpinan parti melihat dirinya sebagai ‘orang’ Hamzah.

Bagaimanapun, katanya, beliau tiada masalah dengan penggantungan itu kerana cepat atau lambat sudah pasti akan ada tindakan daripada Bersatu terhadapnya.

“Saya tiada masalah dengan penggantungan ini, hidup perlu diteruskan juga. Lambat laun memang akan kena tindakan sebab saya dilihat sebagai orang Hamzah dalam parti,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, Ikmal Hashim enggan mengulas lanjut berhubung penggantungannya buat masa ini dan akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor pula berkata, tindakan penggantungan terhadapnya disebabkan beliau hadir pada program reset yang diadakan pada 14 Februari lalu membabitkan kehadiran Hamzah.

Katanya, perkara itu dinyatakan dalam surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Lembaga Disiplin Bersatu kepadanya sebelum ini.

“Surat itu sudah pun dijawab tetapi mereka memutuskan untuk menggantung keahlian saya dan mereka ada hak untuk berbuat demikian. Saya terima saja keputusan mereka sekali pun dibuang daripada parti.

“Tetapi saya tidak berkhianat atau cuba memusnahkan parti. Saya jawatan dalam Bersatu pun tak ada cuma seorang Ahli Parlimen yang bertanding atas tiket Pas di Kelantan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai masa depannya sebagai ahli politik, Khlir yang merupakan Mejar Jeneral (Bersara) berkata, beliau akan melihat terlebih dahulu sekiranya ada tawaran kepadanya untuk mempertahankan Parlimen Ketereh dimenanginya sebelum ini.

Khlir yang juga bekas Asisten Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat berkata, beliau masih lagi berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang supaya dapat terus bersuara demi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia membuka ruang untuk mereka yang dipecat menyertai Pas dalam usaha mengukuhkan organisasi tersebut.

“Kami akui sebahagian mereka bertanding atas tiket Pas mewakili Perikatan Nasional (pada Pilihan Raya Umum Ke-15). Kami juga melihat keutamaan kini adalah memperkasakan kekuatan parti.

“PN perlu memberi fokus kepada persiapan dan kekuatan jentera parti serta mengurangkan (kemungkinan) pertembungan yang merugikan parti,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×