SUNGAI GOLOK (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand mengagalkan cubaan menyeludup 30,000 pil kuda ke negara jiran selepas memberkas empat anggota sindiket dalam serbuan berasingan, semalam.
Serbuan pertama pada pukul 4 petang itu, pasukan Polis Wilayah Narathiwat bersama Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok menahan dua lelaki menaiki motosikal Jalan To Lue Be di sini.
Jurucakap Biro Pencegahan Narkotik Wilayah Selatan berkata, pemeriksaan ke atas motosikal itu membawa kepada penemuan 30,000 biji pil kuda disorok di bawah tempat duduk motosikal berkenaan.
Katanya, susulan itu dua lagi ahli sindiket telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Semua suspek yang ditahan termasuk seorang wanita masing-masing berusia 24 tahun hingga 29 tahun. Semua suspek sudah lama berada dalam radar polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah rentas sempadan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, sindiket ini bukan sahaja menjual dadah kepada penagih tempatan, malah dipercayai turut membekalkan pil kuda, syabu dan ganja kepada rangkaian pengedar lain untuk dihantar ke negara jiran. – UTUSAN










