Terlalu banyak bunga, keluarga saran peminat Zayn Malik derma untuk Palestin - Utusan Malaysia

Terlalu banyak bunga, keluarga saran peminat Zayn Malik derma untuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyanyi, Zayn Malik, dilaporkan semakin pulih dan kini berehat selepas menerima rawatan di hospital akibat masalah jantung.

Susulan perkembangan itu, peminat mula menghantar jambangan bunga serta ucapan doa agar bekas anggota kumpulan One Direction itu kembali sihat.

Bagaimanapun, jumlah bunga yang diterima terlalu banyak sehingga menimbulkan kekangan dari segi logistik menyebabkan sepupu penyanyi berkenaan, Shasha Malik, menyarankan peminat agar menghentikan penghantaran bunga dan  menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.

“Kami amat berterima kasih atas semua jambangan bunga yang dihantar. Namun, dari segi logistik, ia tidak dapat diteruskan. Kami menghargai jika sumbangan disalurkan kepada The Palestine Project bagi pihak Zayn,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Dalam perkembangan sama, Zayn turut mengumumkan pembatalan beberapa lokasi konsert jelajah Konnakol Tour di Amerika Syarikat.

“Kepada para peminat, terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang, khususnya doa serta harapan baik terhadap kesihatan saya. Saya benar-benar menghargainya.

”Saya kini berada di rumah dan dalam keadaan baik. Saya akan kembali lebih kuat dan bertenaga daripada sebelum ini.

“Saya mungkin akan terpaksa mengurangkan jumlah konsert untuk siri jelajah,” katanya menerusi Instagram.

Terdahulu, konsert jelajah itu dijadualkan bermula pada 24 Mei di Manchester sebelum diteruskan ke Mexico pada pertengahan Jun, diikuti Amerika Selatan pada Oktober depan.

Namun, berikutan masalah kesihatan, jumlah lokasi yang sebelum ini merangkumi 32 destinasi berkemungkinan dikurangkan, namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Sebelum ini, Zayn  lantang dalam menyuarakan isu kemanusiaan termasuklah menyuarakan sokongan terhadap Palestin, termasuk ketika konflik di Gaza pada 2014 dan 2021.

Dia juga menegaskan bahawa hak asasi rakyat Palestin perlu dipertahankan serta menyeru agar keganasan dihentikan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN