KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat Malaysia (TDM) 2026 yang berlangsung di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, daripada jumlah itu, tujuh ekor lembu merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak dan individu bagi menjayakan ibadah korban berkenaan.
Katanya, program tahunan itu bukan sahaja menzahirkan penghayatan terhadap tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat gotong-royong dalam kalangan warga tentera.
“Pada hari ini, kita ada sebanyak 11 ekor lembu yang terlibat langsung untuk dikorbankan dan tujuh ekor telah disumbangkan.
“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama anggota tanpa mengira lapisan pegawai atau anggota bawahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis berkenaan di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Mohamad Suria berkata, kira-kira 500 pegawai dan anggota menghadiri majlis itu, manakala program sama turut dilaksanakan di kem tentera darat di seluruh negara bermula semalam hingga hari ini sempena sambutan Aidiladha.
Katanya, daging korban yang selesai dilapah dan dibungkus akan diagihkan kepada anggota terlibat selain golongan memerlukan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota tentera bertugas di sempadan negara dan pulau-pulau sehingga tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada anggota yang berada di lapangan dan teruskan melaksanakan tugas dengan jujur serta ikhlas demi memastikan negara terus aman dan segala ancaman dapat dibendung seawal mungkin,” katanya.
Majlis Ibadah Korban Perdana TDM 2026 bermula seawal 8 pagi dengan ibadah korban sebelum diteruskan dengan aktiviti melapah, pembungkusan dan pengagihan daging korban. – UTUSAN










