KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan DPMM FC 3-2 pada aksi pertama Piala FA di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei, sebentar tadi.
Aksi penuh mendebarkan itu menyaksikan skuad Penyu berdepan tentangan sengit daripada wakil tuan rumah yang terlebih dahulu merobek gawang TFC seawal minit ke-10 menerusi jaringan Jordan Murray.
Terengganu bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi Ubaidullah Shamsul pada minit ke-32 namun DPMM FC kembali mendahului perlawanan apabila Murray sekali lagi menghukum kelalaian benteng pelawat menerusi gol keduanya pada minit ke-36.
Ketika tuan rumah dilihat hampir menamatkan babak pertama dengan kelebihan gol, Ubaidullah sekali lagi tampil mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-45 untuk memastikan kedudukan kembali seimbang sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol tambahan.
Terengganu terus mengasak benteng tuan rumah dalam usaha mencari gol kemenangan, manakala DPMM lebih banyak bergantung kepada serangan balas pantas.
Usaha tanpa henti skuad kendalian Nafuzi Zain akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-86 apabila penyerang naturalisasi, Romel Morales meledak jaringan kemenangan.
Kemenangan itu memastikan Terengganu membawa bekalan satu gol bagi aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada minggu lalu ditunda.-UTUSAN










