Pemimpin Bersatu Kangar  bersama 90 ketua cawangan keluar Bersatu sertai Wawasan - Utusan Malaysia

Pemimpin Bersatu Kangar  bersama 90 ketua cawangan keluar Bersatu sertai Wawasan

MOHAMMAD Faisol Abd Rahman (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian besar pimpinan Bersatu Bahagian Kangar mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas Padang Besar, kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar pula mengumumkan keluar parti beramai-ramai berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan tersebut diketuai oleh Naib Ketua Bersatu Bahagian, Mohammad Faisol Abd Rahman dan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK), jawatankuasa Armada, Srikandi, Srikandi Muda serta 90 ketua cawangan bahagian Kangar.

Serentak dengan itu, kesemua mereka juga mengumumkan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Keputusan dan pengumuman peletakan jawatan itu bagaimanapun tidak melibatkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah merangkap Ketua Bersatu Bahagian Kangar; Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini.

Menurut Mohammad Faisol, keputusan peletakan jawatan itu dibuat selepas mereka melalui pertimbangan mendalam dan mengambil kira perkembangan semasa serta pandangan akar umbi.

“Keputusan untuk meninggalkan Bersatu bukanlah keputusan dibuat secara terburu-buru. Setelah sekian lama bersama-sama membangunkan parti di peringkat akar umbi, kami merasakan bahawa kepercayaan terhadap kepimpinan parti telah hilang.

“Kami melihat terdapat perkara-perkara berkaitan hala tuju, pengurusan organisasi dan pendekatan kepemimpinan yang tidak lagi selari dengan harapan serta aspirasi kami sebagai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya dalam sidang akhbar di salah sebuah hotel di sini malam tadi.

Semalam, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi bersama sebahagian besar AJK termasuk 14 daripada 24 ketua cawangan mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Turut berbuat demikian ialah Naib Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramli Aripin; pemangku Ketua Srikandi Bersatu bahagian itu, Fazuwin Razak; Ketua Srikandi Muda, Nurul Hafiza Ramli serta dua AJK, Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis.

Mohammad Faisol berkata, keputusan menyertai Wawasan dibuat setelah mengambil kira hala tuju, kepimpinan dan pendekatan parti tersebut yang dilihat lebih dekat dengan aspirasi serta keperluan akar umbi.

“Tindakan pengunduran dari Bersatu juga adalah langkah bermaruah tanpa mencetuskan permusuhan dengan mana-mana pihak.

“Selepas ini, fokus kami untuk terus turun ke akar umbi, mendengar suara rakyat dan bekerja untuk kepentingan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×