PUTRAJAYA: Acara gaya hidup dan kecantikan, The Beauty & Fragrance House (TBFH) 2026 menyasarkan kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 pengunjung sepanjang penganjuran tiga hari di IOI City Mall bermula semalam.
Penganjuran oleh Kuala Lumpur International Beauty Week (kLIBW) itu menghimpunkan lebih 50 reruai melibatkan pelbagai produk termasuk wangian, solekan, penjagaan kulit, kesihatan serta penjagaan rambut.
Penyertaan kali ini turut melibatkan jenama tempatan dan antarabangsa dari Indonesia serta Korea Selatan yang menampilkan pelbagai inovasi dalam industri kecantikan dan penjagaan diri.
Ketua Pegawai Eksekutif KLIBW, Zaid Zahari berkata edisi kedua TBFH ini buat pertama kali dibuka kepada pengguna selepas tahun lalu lebih tertumpu kepada urusan perniagaan sesama jenama.
“Pada tahun lalu, konsepnya lebih tertumpu kepada bisnes kepada bisnes dengan penglibatan penaja dalam kalangan jenama besar.
“Namun kali ini, kami memperluaskan konsep itu kepada bisnes kepada pelanggan dengan membawa acara ini terus ke pusat beli-belah bagi mendekatkan jenama dengan pengguna,” kata Zaid.
Menurut beliau, walaupun promosi telah dilaksanakan secara meluas bersama vendor, usaha pemasaran masih perlu diperkukuh bagi menarik lebih ramai pengunjung ke reruai pameran.
“Terdapat vendor yang tampil agresif dengan pelbagai strategi promosi termasuk hadiah iPhone, cabutan bertuah, sampel percuma dan diskaun menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Digital KLIBW, Lira Jamaluddin berkata peningkatan penyertaan jenama tempatan menjadi antara tarikan utama edisi kali ini apabila produk usahawan Malaysia semakin mendapat perhatian pengguna.
Menurutnya acara ini turut memberi impak kepada sektor pelancongan apabila pelancong asing dari Perancis, Rusia dan China turut hadir mencuba produk kecantikan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dalam tempoh dua tahun ini, sambutan terhadap jenama tempatan sangat memberangsangkan dan ramai pengunjung mahu melihat sendiri kualiti produk yang dihasilkan usahawan Malaysia,” katanya.
“Saya melihat ramai pelancong dari Perancis, Rusia dan China berminat mencuba produk kecantikan Malaysia kerana mereka mahukan sesuatu yang baharu dan berbeza. Malah ada antara mereka merupakan pengunjung tetap yang hadir setiap tahun untuk meneroka trend dan produk terkini,” katanya.
Menurut Lira, KLIBW juga menjadi platform penting kepada jenama antarabangsa untuk menguji pasaran Malaysia sebelum berkembang lebih luas di negara ini.
Katanya, beberapa jenama yang pernah menyertai acara terdahulu kini berjaya menembusi pasar raya utama serta membuka premis fizikal sendiri di Malaysia.
Sementara itu, Zaid berkata penganjuran kali ini turut mengetengahkan konsep interaktif termasuk ukiran nama pada botol pewangi dan sesi menghasilkan wangian sendiri kepada pengunjung.
Menurutnya, pendekatan itu memberi pengalaman lebih dekat antara jenama dan pengguna selain membantu promosi produk secara kreatif dan berimpak tinggi.
“Kami menyediakan aktiviti seperti ukiran nama pada botol pewangi, menghasilkan adunan wangian sendiri, permainan interaktif serta kemudahan bilik khas untuk pempengaruh dan selebriti menghasilkan kandungan media sosial secara percuma,” katanya.
TBFH 2026 akan berlangsung selama tiga hari di IOI City Mall dengan pelbagai aktiviti dan promosi melibatkan jenama kecantikan serta wangian tempatan dan antarabangsa.
Selepas Putrajaya, siri seterusnya KLIBW akan diteruskan di Mid Valley Megamall dari 9 hingga 11 Oktober ini. – UTUSAN










