PERNAH dianggap antara barisan selebriti terhangat dan popular pada awal 2000-an, pelakon, Jehan Miskin, masih mencuri tumpuan di acara keramaian baru-baru ini walaupun sudah 10 tahun menghilang dari layar perak.
Dalam pertemuan singkat, Jehan atau Mohamad Jehan Miskin, 46, mengakui rasa rindu untuk beraksi di hadapan kamera masih menebal namun tuntutan tanggungjawab mengelola sebuah rumah produksi lebih diutamakan.
Walaupun mengambil keputusan memperlahankan kerjaya sebagai pelakon, Jehan bagaimanapun menjelaskan dia tidak pernah hilang daripada radar industri hiburan. Dia masih bekerja rapat dengan bakat tempatan kerana mengusahakan rumah produksi yang banyak tertumpu kepada iklan komersial.
“Tipulah kalau cakap tak rindu sebab sekali jadi anak seni, memang susah nak lupakan. Tapi sekarang saya sibuk dengan projek komersial, membuatkan semua penggambaran lebih cepat. Saya tidak boleh tinggalkan kerja terlalu lama.
“Sebenarnya saya ada berlakon tapi muncul sekejap sahaja, kali terakhir cerita 10 Tips Tipu Bini iaitu filem Datuk Awie. Sebab saya mengenang jasa dia yang berlakon semasa saya arahkah telefolem Buta Warna lama dahulu.
“Waktu itu saya baru lagi nak cuba bidang pengarahan kemudian dia cakap ‘abang buat ini sebab kami’. Sekarang saya anggap berlakon lebih kepada suka-suka atau bantu kawan. Bukan untuk kerjaya sebab tanggungjawab saya lebih besar adalah untuk menguruskan syarikat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Walaupun kemunculannya hanya sekejap sahaja dalam filem tersebut, Jehan mengakui dihujani pertanyaan daripada rakan industri yang menawarkan banyak projek lakonan kerana menyangka Jehan mahu kembali bergelar pelakon.
“Lepas muncul dalam projek Datuk Awie, saya terus dapat panggilan telefon daripada kenalan industri tawarkan watak untuk drama bersiri 16 episod.
“Tapi macam saya cakap tadi, masa saya bukan macam dulu. Saya tidak boleh ambil tawaran yang penggambaran memakan masa sampai 30 hari. Kalau sekadar watak undangan satu atau dua hari, saya boleh buat sekadar untuk suka-suka.
“Memandangkan saya buat komersial, ramai sahaja pengarah yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini turut minta bantuan saya muncul dalam naskhah mereka seperti Kabir Bhatia, Ghaz Abu Bakar dan lain-lain.
“Sebab saya juga bekerja rapat dengan orang filem termasuk pengarah, penulis skrip bukan artis sahaja,” katanya.
Menerusi rumah produksinya Mastermind Group, Jehan bekerjasama menghasilkan iklan untuk jenama dan syarikat korporat seperti Petronas, Watson, Telekom Malaysia dan lain-lain.
“Waktu saya berlakon pun rumah produksi saya sudah ada, cuma kami bermula dari bawah lama-lama baru ada rezeki nama naik sedikit demi sedikit.
“Kalau berlakon, semua tentang diri saya. Tapi syarikat ini rezeki banyak orang, pasukan saya semuanya sudah bekerja lama dengan saya ada sampai 15 tahun. Jadi boleh dikata kami cari rezeki bersama,” ceritanya.
Suasana berubah
Selain masa, antara yang menjadi pertimbangan Jehan untuk kembali aktif dalam bidang hiburan ialah dunia media sosial yang membuatkana artis masa kini semakin sukar untuk menjaga kehidupan peribadi.
“Waktu zaman saya mula berlakon dahulu, mana ada media sosial. Cuma sejak kemunculan media sosial, ia mengubah banyak. Saya pula seorang yang mementingkan ketenangan.
“Jadi apabila kerja belakang tabir dan hanya fokus kepada perniagaan, saya lebih tenteram. Saya tak perlu nak kisah apa orang fikir atau buat. Saya boleh buat apa-apa keputusan sendiri. Mungkin memang rezeki saya untuk berniaga,” ceritanya.
Bagaimanapun, Jehan tidak menafikan walaupun sudah tidak aktif di dalam industri, ada sahaja komen daripada individu tidak dikenali sengaja mencetuskan provokasi. Dia bagaimanapun lebih memilih pendekatan menyekat akaun media sosial yang keterlaluan.
”Kalau artis, mereka kena muat naik kerja, tapi saya ini hanya kongsi apa yang saya suka seperti motor dan keluarga. Dahulu kalau nak jumpa artis kena pergi majlis tayangan atau festival. Kini media sosial buka ‘pagar’ itu dan sesiapa sahaja boleh komen.
“Jadi bila ada kecaman saya macam ‘sibuklah, jaga hidup awak dululah’, Kalau datang cakap benda tidak baik, saya tidak mahu layan, saya sekat sahaja,” katanya.










