PETALING JAYA: “Saya sudah tunaikan janji untuk balik jumpa awak. Jadi, awak kena tunaikan janji juga.”
Demikian kata pelakon, Janna Nick selepas kembali ke tanah air demi melunaskan janji dan memberikan sokongan terhadap rakan baiknya, Azar Azmi yang pernah menyepi dari industri sebelum ini.
Turut bersimpati dengan keperitan yang dilalui sahabatnya itu, Janna berharap Azar terus bangkit dan semangat untuk membina namanya semula selepas terpalit dengan isu penipuan, baru-baru ini.
“Geram tau bila kawan menghilang. Aku tahu dia penat dengan segalanya tapi tetap kuat demi anak-anak.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan kau. Janji, jangan lari dan hilang lagi. Aku tak mahu kau lalui jalan yang sama. Semoga Allah limpahkan rezeki awak, bagi peluang yang seronok,” katanya di Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, Janna turut memuat naik momen indah apabila pelakon itu teruja dapat bertemu dengannya yang sanggup pulang demi mengotakan janjinya.
Dalam masa sama, Azar dilihat gagal menahan air mata selepas melihat pelakon yang kini berhijrah ke London demi melanjutkan pelajaran dan memulakan kehidupan baharu di sana.
Kisah keperitan hidup Azar mula meraih perhatian ramai selepas ditahan reman oleh pihak polis pada Mac 2026 untuk membantu siasatan kes penipuan jualan tanah dan darjah kebesaran bernilai RM1.5 juta yang melibatkan suaminya.
Sebelum ini, pendedahan Janna mengenai keadaan Azar ketika didakwa terpalit dengan kegiatan penipuan wang ringgit bersama suaminya setelah sekian lama menghilang meraih perhatian ramai.
Kata Janna, dia terkejut apabila suami pelakon itu mendakwa kononnya Azar menghidap penyakit kanser dan menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan.
Azar bagaimanapun terkejut apabila mendengar pendedahan itu, selain memaklumkan tidak mengetahui bahawa suaminya ada berhubung dengan Janna.










