PETALING JAYA: Tidak adil meletakkan kesalahan hanya pada hakim atau mahkamah syariah jika berlaku penangguhan dan kelewatan kes.
Bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, penangguhan kes di mahkamah syariah adalah bersifat sangat subjektif dan bergantung kepada banyak faktor.
Antaranya, isu pihak-pihak tidak hadir, peguam tidak bersedia, dokumen tidak lengkap, saksi tidak hadir, pertukaran peguam, masalah pembayaran fi guaman serta kegagalan pihak-pihak memberi kerjasama.
Sebagai contoh, katanya, penyampaian notis saman dalam sesuatu kes tidak dapat diserahkan kepada individu yang patut menerimanya disebabkan sudah berpindah.
“Apabila perkara ini berlaku, peguam perlu kembali ke mahkamah untuk memohon pertukaran alamat saman. Selepas mahkamah meluluskan permohonan itu, tarikh baharu pula biasanya diberikan dua bulan kemudian.
“Jika saman masih gagal disampaikan kerana pihak tersebut tiada di rumah, peguam perlu memohon saman ganti seperti tampalan notis di papan kenyataan mahkamah atau di alamat terakhir yang dipercayai.
“Selepas saman ganti diluluskan, mahkamah pula tidak terus menetapkan tarikh segera. Biasanya diberikan tempoh sebulan lagi untuk laporan penampalan dikemukakan. Kadang-kadang laporan itu pula belum siap kerana kelemahan pihak peguam atau masalah pentadbiran. Di situ sahaja, masa boleh mencecah enam hingga tujuh bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam, mengenai dilema dialami umat Islam di negara ini berikutan penangguhan kes di mahkamah syariah termasuk tuntutan harta sepencarian selepas bercerai yang tertangguh lebih 10 tahun.
Muhamad Abdul Karim yang pernah mengendalikan kes tuntutan bayaran mutaah RM30 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 2016 berkata, tempoh tiga tahun bagi sesuatu kes tuntutan masih dianggap normal.
Namun, jika sesuatu kes berlarutan sehingga sepuluh tahun, beliau berkata, kemungkinan ada masalah lain timbul daripada pihak plaintif, defendan, peguam atau faktor pentadbiran tertentu.
Disoal tentang pertukaran hakim yang menjadi antara faktor penyumbang penangguhan kes, katanya, apabila hakim baharu mengambil alih kes, beliau perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak sama ada mahu meneruskan berdasarkan keterangan lama atau memulakan semula perbicaraan.
“Jika pihak-pihak meminta bicara dimulakan semula, proses akan mengambil masa tambahan. Pertukaran hakim juga berlaku disebabkan berlaku kenaikan pangkat.
“Malah, beban kerja hakim di Kuala Lumpur juga adalah jauh lebih tinggi berbanding di negeri-negeri lain.
“Contohnya, seorang hakim syarie di Kuala Lumpur boleh mengendalikan 10 kes sehari berbanding hakim syarie di Gua Musang, jumlahnya lebih sedikit. Belum lagi melibatkan perbicaraan penuh dengan ramai saksi dan soal balas panjang,” katanya.
Abdul Karim berkata, sistem mahkamah syariah sebenarnya sudah menyediakan mekanisme sulh atau mediasi untuk mempercepatkan penyelesaian kes.
Jika kedua-dua pihak bersedia bertolak ansur, katanya, kes boleh diselesaikan dalam satu atau dua sesi sahaja tanpa perlu melalui perbicaraan panjang.
“Kes hak penjagaan anak juga sebenarnya lebih mudah diselesaikan jika kedua-dua pihak mengetepikan ego. Namun, banyak kes gagal diselesaikan melalui sulh kerana pihak-pihak enggan berkompromi,” katanya.










