AS 'paksa' Cuba terima bantuan AS$100 juta - Utusan Malaysia

AS ‘paksa’ Cuba terima bantuan AS$100 juta

SEORANG wanita memegang bendera kebangsaan Cuba di sepanjang kawasan pantai Havana sempena Hari Pekerja Antarabangsa di hadapan Kedutaan AS di Havana pada 1 Mei lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memperbaharui tawaran bantuan bernilai AS$100 juta (RM392 juta) kepada Cuba, sebagai tekanan terhadap musuh lamanya itu untuk bekerjasama ketika negara berkenaan berdepan krisis ekonomi termasuk gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan.

Setiausaha Negara, Marco Rubio, dalam kenyataan minggu lalu di Rom berkata, Cuba menolak tawaran bantuan AS$100 juta itu, namun dakwaan tersebut dinafikan oleh kerajaan komunis di Havana.

Jabatan Negara AS pada Rabu secara terbuka memperbaharui tawaran tersebut, selepas AS mengenakan sekatan baharu terhadap sektor utama ekonomi Cuba yang dikawal kerajaan.

“Rejim itu enggan membenarkan AS memberikan bantuan kepada rakyat Cuba yang amat memerlukan bantuan akibat kegagalan Cuba yang korup.

“Keputusan terletak pada rejim Cuba sama ada menerima tawaran bantuan kami atau menolak bantuan menyelamatkan nyawa dan akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat Cuba kerana menghalang bantuan penting,” kata Jabatan Negara.

Katanya, tawaran itu akan merangkumi bantuan kemanusiaan secara langsung daripada AS serta pembiayaan untuk akses internet pantas dan percuma, dipercayai akan memberi manfaat kepada golongan pembangkang dalam negara satu parti itu yang menyekat media.

Menurut kenyataan itu, AS sedang berusaha untuk mempromosikan ‘pembaharuan bermakna’ di Cuba.

Bekalan tenaga Cuba terus merosot ke paras terendah baharu, menurut data yang dikumpulan AFP, dengan gangguan bekalan elektrik berpanjangan serta kekurangan penjanaan elektrik yang mencatat rekod dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sebanyak 65 peratus wilayah Cuba mengalami gangguan bekalan elektrik serentak pada Selasa, menurut data tersebut.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, pada Rabu mengakui keadaan itu ‘sangat tegang’, namun meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada AS.

Masalah ekonomi Cuba bertambah buruk pada Januari selepas AS menumbangkan pemimpin berhaluan kiri Venezuela, Nicolas Maduro, yang sebelum ini membekalkan kira-kira separuh daripada keperluan bahan api pulau itu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN