KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini, hari ini.
Mengiringi keberangkatan baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut mengiringi, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohammed Moizz.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada pukul 8.30 pagi turut disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Solat sunat Aidiladha ini dipimpin oleh Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Mohd. Hafidz Mohammad Suhaile dan diikuti khutbah bertajuk ‘Kehidupan Adalah Pengorbanan’ oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Baginda kemudian berkenan menyaksikan ibadah korban di pekarangan masjid.
Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan 31 ekor lembu bagi pelaksanaan ibadah korban yang diagihkan ke masjid dan surau di seluruh negeri Pahang sempena Aidiladha tahun ini. – UTUSAN










