PETALING JAYA: Siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan ekoran isu kapasiti kolam takungan banjir di ibu negara yang dikatakan menyusut sehingga kira-kira 70 peratus selepas sebahagian tanah dipindahkan kepada pemaju sejak 2015.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia bukan lagi isu pembangunan biasa, sebaliknya membabitkan persoalan besar mengenai integriti pentadbiran awam, ketelusan proses kelulusan tanah serta keselamatan rakyat.
Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, berkemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan aset mitigasi banjir negara yang tidak boleh diketepikan.
“Kolam takungan banjir bukan tanah komersial biasa yang boleh dikompromi demi pembangunan jangka pendek. Ia infrastruktur keselamatan awam yang diwujudkan untuk melindungi nyawa, rumah, ekonomi bandar dan kestabilan sistem saliran Kuala Lumpur.
“Rakyat berhak tahu siapa luluskan pemindahan tanah terbabit, apakah justifikasi teknikal yang digunakan, sama ada terdapat bantahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pakar teknikal serta sama ada semua kelulusan dibuat mengikut prosedur dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu menyusut kepada kira-kira 30 peratus selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.
Katanya, jumlah keluasan asal kolam takungan banjir adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar selepas pemberian milikan yang berlaku sejak 2015.
Jais berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguat kuasa berkaitan wajar meneliti keseluruhan proses pemindahan tanah terbabit.
Katanya, siasatan perlu membabitkan manfaat luar biasa kepada pihak tertentu atau keputusan yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan awam.
Jais turut mendesak audit bebas dan telus dilakukan terhadap semua kawasan mitigasi banjir di Kuala Lumpur bagi memastikan tiada lagi pembangunan yang mengorbankan fungsi infrastruktur keselamatan rakyat atas nama kemajuan bandar.
“Pembangunan tanpa integriti akhirnya akan menjadi liabiliti kepada rakyat. Jika benar kapasiti kolam takungan banjir kini hanya tinggal sekitar 30 peratus daripada saiz asal, rakyat berhak tanya siapa dapat manfaat daripada pembangunan ini, siapa akhirnya akan tanggung risiko apabila banjir besar,” katanya. – UTUSAN










