ALOR GAJAH: Jika Johor kini hangat diperkatakan bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa susulan spekulasi sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 24 Jun ini yang dikaitkan dengan kemungkinan pembubaran DUN, Melaka pula memberi bayangan PRN negeri itu mungkin diadakan dalam tempoh 120 hari.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya sedang melihat tempoh paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal berakhir pada 30 Disember ini.
Tegasnya, UMNO tidak boleh menunggu sehingga tarikh tamat penggal DUN pada Disember kerana ia akan menjejaskan tempoh berkempen bertembung bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Kita pastikan cuba lihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini untuk mengadakan pilihan raya negeri dan kebolehupayaan kita mengadakan PRN negeri. Inilah antara kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini semalam.
Pada majlis tersebut UMNO Bahagian Masjid Tanah menerima lebih 190 borang keahlian baharu serta permohonan bekas ahli yang meninggalkan parti itu kembali semula menyertai UMNO di bawah payung Rumah Bangsa.
Mengulas mengenai UMNO negeri akan bertanding solo mengikut jejak langkah UMNO Johor Ab. Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan setakat ini.
“Sama ada kita akan bertanding solo atau sebaliknya tunggulah masa yang sesuai untuk kita umumkan nanti. Apa yang penting gerak kerja telah kita laksanakan tahun lalu,” ujarnya.
Ditanya sama ada pembubaran DUN Melaka serentak dengan Parlimen beliau menegaskan perkara itu tidak difikirkan kerana ia lebih tertumpu kepada PRN negeri sahaja.
“Saya tidak urus Parlimen dan kita akan tengok nanti bagaimana keadaan yang sesuai yang baik untuk keputusan dibuat bagi melaksanakan PRN negeri bila tiba waktu yang sesuai,” katanya.
Mengenai kembalinya bekas ahli UMNO daripada lima DUN dalam Parlimen Masjid Tanah Ab. Rauf berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO dan BN semakin kembali pulih.
Katanya, konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan parti berjaya menarik semula sokongan akar umbi termasuk bekas ahli UMNO dari pelbagai cawangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
“Saya tengok malam ini mereka begitu bersemangat untuk kembali bersama perjuangan dan bersedia menjadi jentera parti pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. – UTUSAN










