Risau ada pihak benarkan rakaman dalam pawagam demi promosi murahan - Ghaz Abu Bakar - Utusan Malaysia

Risau ada pihak benarkan rakaman dalam pawagam demi promosi murahan – Ghaz Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah filem, Ghaz Abu Bakar, menyelar tindakan segelintir individu yang merakam klip filem ketika tayangan di pawagam dan memuat naiknya ke media sosial.

Menurut Ghaz, 51, perbuatan merakam di dalam panggung wayang merupakan satu kesalahan serius dan tidak seharusnya dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hasil karya anak tempatan.

“Sejujurnya, saya tidak begitu aktif di platform Threads kerana bagi saya ia agak memeningkan. Namun, saya amat menghargai usaha pengulas filem yang prihatin terhadap kewujudan klip-klip filem yang ditayangkan secara haram di platform tersebut.

“Kalau saya tahu perkara ini berlaku terhadap filem saya sendiri, sudah tentu saya akan marah apabila hasil kerja diperlakukan sedemikian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, pengarah filem Polis Evo itu turut meluahkan kebimbangan sekiranya ada pihak tertentu dalam industri sengaja membiarkan isu rakaman haram berlaku sebagai strategi pemasaran murahan bagi menarik perhatian penonton.

Katanya, pelanggaran hak cipta tidak sepatutnya dijadikan bahan promosi atau gimik untuk meningkatkan jualan tiket sesebuah filem.

“Saya benar-benar berharap perkara ini bukan satu gimik daripada pihak penerbit untuk melariskan filem. Jangan jadikan pelanggaran hak cipta sebagai alat promosi.

“Sekiranya rakaman haram ini benar-benar berlaku, pihak penerbit perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya. Mereka juga harus menyokong usaha orang ramai dalam membanteras budaya merakam video di dalam panggung wayang daripada terus berleluasa,” tegasnya.

Terdahulu, isu rakaman haram atau ‘camcord’ kembali hangat diperkatakan dalam kalangan pengkritik filem dan pengguna media sosial selepas beberapa klip daripada filem yang sedang ditayangkan di pawagam didakwa mula tersebar secara terbuka menerusi aplikasi Threads. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN