Rider warga Malaysia diupah sindiket ah long peras ugut di Singapura - Utusan Malaysia

Rider warga Malaysia diupah sindiket ah long peras ugut di Singapura

Mohd Khalid Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis mengesahkan penahanan 35 individu termasuk penghantar makanan warga Malaysia yang dipercayai diupah sindiket ah long bagi menjalankan kegiatan pemerasan di Singapura.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan penahanan itu masih dilaksanakan secara bersepadu bersama Pasukan Polis Singapura atau Singapore Police Force (SPF).

“Betul seperti didakwa. Ada tindakan yang sedang kita jalankan. Setakat ini, kita telah menahan kira-kira 35 individu melibatkan negara jiran iaitu Singapura.

“Tindakan ini masih dilaksanakan secara bersepadu dan jika ada perkara berkaitan, kita akan cuba tangani sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai penghantar makanan Malaysia yang didakwa dipergunakan sindiket ah long untuk mengganggu peminjam ingkar di Singapura.

Menurut Mohd Khalid, masyarakat perlu lebih berwaspada dan tidak mudah terlibat dengan sebarang perjanjian atau urusan bersama individu yang tidak dikenali.

“Sebab itu kita sentiasa mengingatkan individu yang terlibat supaya faham bagaimana mereka dipergunakan.

“Saya juga meminta masyarakat sentiasa berwaspada dan tidak menjalankan sebarang perjanjian atau perkongsian dengan individu yang tidak dikenali kerana pihak polis akan menangkap dan mendakwa mereka termasuk pemilik akaun terbabit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penghantar makanan Malaysia digunakan sindiket ah long untuk mengganggu peminjam ingkar di Singapura, termasuk menghantar produk berasaskan khinzir kepada peminjam Muslim.

Sindiket terbabit dipercayai menggunakan perkhidmatan penghantaran dalam talian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain memanfaatkan penghantar makanan yang tidak mengetahui kandungan sebenar bungkusan dihantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN