KUALA LUMPUR: Ratu Rock Malaysia, Ella Aminuddin, menyifatkan Ramli Sarip sebagai individu penting yang membentuk perjalanan awal karier nyanyiannya.
Ella atau Nor Zila Aminuddin, 59, berkata, Ramli merupakan figura yang bertanggungjawab menerbitkan tiga album terawalnya iaitu Pengemis Cinta, Puteri Kota dan Identiti.
“Kali pertama saya menerima lagu daripada Ramli Sarip, ketika itu saya masih belum ada pengalaman dan baru hendak bermula sebagai penyanyi. Jadi saya masuk studio dan belajar dengannya.
“Pengalaman itu sangat manis walaupun ada pahit getirnya kerana saya pernah dimarahi. Dia seorang yang sangat tegas, namun alhamdulillah saya berjaya bekerja dengannya dengan baik.
“Saya memperoleh banyak pengalaman dan menimba ilmu yang sangat berharga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru di Odeon, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Sembilu itu mengakui pernah menangis kerana sukar mencapai nada tinggi yang diperlukan dalam lagu-lagu terbitan Ramli.
“Saya pernah menyorok di balik pintu kerana malu hendak tunjuk saya menangis apabila diminta menyanyi semula untuk mencapai ‘note’ yang sangat tinggi.
“Sebenarnya saya boleh capai ‘note’ itu, tetapi ketika itu saya masih baharu dan ia agak sukar. Namun akhirnya saya berjaya melakukannya. Antaranya menerusi lagu Tiada Tangis Lagi dan beberapa lagu lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RockQueen, Kapten Azhar, tidak menolak kemungkinan Ramli bakal tampil sebagai artis undangan pada Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadual berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Tidak mustahil beliau akan terbabit. Kami akan umumkan bersama barisan artis jemputan lain yang bakal memeriahkan konsert itu nanti.
“Seperti konsert sebelum ini, pengumuman rasmi akan dibuat menerusi sidang media khas akan datang.
“Datuk Ramli Sarip antara nama yang berpotensi besar untuk terlibat kerana beliau juga mentor kepada Ella selain menghasilkan tiga album khas buat penyanyi itu,” katanya. -UTUSAN










