LUMUT: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi serbuan di tiga premis yang dijadikan pusat panggilan atau ‘calling centre’ di sekitar Sitiawan dan Lumut, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, 13 individu terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita warga China ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 46 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan premis berkenaan untuk menjalankan kegiatan pusat panggilan dengan menawarkan pelaburan tidak wujud secara dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat dan Eropah.
“Semua suspek yang ditahan berperanan sebagai pencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum memperdayakan mangsa untuk melabur menerusi laman sesawang www.multisilo.org,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua buah kenderaan, 44 unit telefon bimbit, 11 unit komputer riba, dua modem WiFi dan satu kad akses premis.
Katanya, kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 9 Mei hingga 14 Mei depan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan jenayah,” katanya. – UTUSAN










