PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan penyenaraian Orkim Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjadi pencapaian utama, sekali gus menandakan mercu tanda pertama pelaksanaan konsep Bumiputera ‘Relay Race’
Selain itu, Ekuinas juga mengukuhkan model penciptaan nilai menerusi tiga teras utama iaitu ekuiti persendirian, kredit persendirian dan Capacity Building.
Dalam Laporan Impak 2025, Ekuinas berkata, tahun ini menyaksikan peralihan strategik penting susulan penyusunan semula di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) pada Januari 2025, sebelum menjadi anak syarikat penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Julai, diikuti pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Aliff Omar Mohamad Omar.
Menurutnya, perkembangan itu menandakan pendekatan lebih bersepadu dalam mengimbangi prestasi kewangan dan impak sosioekonomi, sejajar mandat memperkukuh penyertaan ekonomi bumiputera secara mampan.
Aliff Omar berkata, pencapaian Ekuinas pada 2025 mencerminkan evolusi berterusannya sebagai pelabur modal persendirian bersepadu, yang menyokong perniagaan pasaran pertengahan Malaysia, meliputi peringkat pertumbuhan berbeza.
“Ekuinas mengukuhkan tumpuan dalam ekuiti persendirian, kredit persendirian dan Capacity Building serta kejayaan mencapai mercu tanda Bumiputera ‘Relay Race’ yang pertama menerusi tawaran awam permulaan (IPO) Orkim Berhad.
“Pencapaian menunjukkan bagaimana nilai boleh dicipta, dikekalkan dan dipindahkan kepada institusi yang lebih besar di dalam ekosistem pelaburan negara, untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
“Sebagai sebahagian daripada ekosistem syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kami terus mengambil langkah selari dengan keutamaan agenda nasional seperti GEAR-uP, sambil mengekalkan disiplin untuk menjana impak dan pulangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mercu tanda utama pada 2025 ialah penyenaraian Orkim di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas perjalanan pelaburan Ekuinas selama 11 tahun sejak 2014.
Sepanjang tempoh tersebut, Orkim berkembang menjadi pengendali kapal tangki produk petroleum ditapis utama di Malaysia dengan menguasai pegangan pasaran melebihi 50 peratus kapal-kapal berdaftar di Malaysia ketika penyenaraian.
“Menerusi IPO dan pemindahan saham, Ekuinas mencatatkan hasil kasar berjumlah RM828 juta, dengan RM350 juta diagihkan sebagai dividen kepada PNB, demi manfaat pemegang unit amanahnya.
“Transaksi tersebut juga menandakan Bumiputera ‘Relay Race’ pertama, dengan kepentingan 60 peratus dalam Orkim dipindahkan kepada pemilikan institusi jangka panjang di bawah PNB, untuk menyokong fasa pertumbuhan syarikat selanjutnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ekuinas berkata, program Capacity Building yang diperkenalkan bagi tempoh tiga tahun telah memilih Kopi Hang Tuah sebagai syarikat pertama di bawah inisiatif tersebut, dengan tumpuan kepada peningkatan kepimpinan, tadbir urus dan keupayaan operasi.
“Sejak penubuhannya, Ekuinas telah memperuntukkan RM5.1 bilion dalam 49 syarikat dan menjana hasil berjumlah RM5.7 bilion, selain mencipta nilai ekuiti bumiputera sebanyak RM7.1 bilion serta jumlah nilai pemegang saham RM8.5 bilion.
“Dalam aspek impak sosial, platform ILTIZAM telah menyalurkan RM12.6 juta pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM115 juta merangkumi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pendidikan, kebolehpasaran graduan dan pemerkasaan komuniti,” jelansya. – UTUSAN










