Harga pasir naik sehingga 14.5 peratus pada April

Harga pasir naik sehingga 14.5 peratus pada April

PERBANDINGAN tahunan antara April 2025 dan April 2026 menunjukkan indeks harga seunit pasir meningkat antara 2.8 peratus hingga 18.6 peratus - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit pasir mencatatkan peningkatan bulan ke bulan antara 0.4 peratus hingga 14.5 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi direkodkan di Terengganu dan Kelantan iaitu sebanyak 14.5 peratus, diikuti Pahang (14.4 peratus) dan Miri (14.1 peratus).

“Perbandingan tahunan antara April 2025 dan April 2026 menunjukkan indeks harga seunit pasir meningkat antara 2.8 peratus hingga 18.6 peratus di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi indeks harga seunit pasir dicatatkan di Miri sebanyak 18.6 peratus, diikuti Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan (16.0 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, indeks harga seunit simen turut merekodkan peningkatan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 6.0 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi direkodkan di Sibu sebanyak 6.0 peratus, diikuti Johor (3.9 peratus) dan Miri (3.5 peratus).

“Perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen menunjukkan peningkatan antara 1.0 peratus hingga 7.5 peratus pada April 2026 berbanding bulan sama tahun lalu di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Kuching sebanyak 7.5 peratus, diikuti Perak (6.9 peratus) dan Miri (6.7 peratus),” ujarnya.

Dalam pada itu, indeks harga seunit besi turut meningkat antara 0.1 peratus hingga 6.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Peningkatan tertinggi direkodkan di Perak sebanyak 6.1 peratus, diikuti Johor (2.7 peratus) serta Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing 2.4 peratus.

“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 2.3 peratus kepada RM3,504.20 satu tan metrik berbanding RM3,426.80 pada bulan sebelumnya,” katanya.

Tambah beliau, purata harga simen Ordinary Portland turut meningkat 1.3 peratus kepada RM25.90 bagi setiap 50 kilogram sekarung berbanding RM25.55 bagi setiap 50 kilogram sekarung pada Mac 2026.

Sementara itu, indeks harga batu baur turut mencatatkan peningkatan bulan ke bulan antara 0.5 peratus hingga 16.4 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN