Pulau Pinang: Nelayan lega terima bot, enjin baharu sempena Aidiladha

Pulau Pinang: Nelayan lega terima bot, enjin baharu sempena Aidiladha

PARA nelayan bergambar kenangan selepas menerima bot dan enjin baharu sempena program 'Sambutan Aidiladha Bersama Komuniti Nelayan' di Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sambutan Aidiladha pada tahun ini memberi kelegaan kepada sebahagian daripada komuniti nelayan di selatan Pulau Pinang di sini apabila mereka menerima bot dan enjin baharu, semalam.

Penyerahan aset itu merupakan sebahagian daripada Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah projek Pulau Silikon dalam usaha menaik taraf kehidupan para nelayan yang terlibat.

Salah seorang penerima, Che Anuar Puteh dari unit nelayan Sungai Batu berkata, pemberian tersebut merupakan rezeki daripada Tuhan sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Dia yang berpengalaman sebagai nelayan selama 45 tahun turut menganggap aset yang diterimanya itu sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-64, kelmarin.

“Keluarga kami sememangnya bergantung kepada hasil laut untuk meneruskan kehidupan dan dua anak lelaki saya juga kini bekerja sebagai nelayan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagi penerima termuda, Mohamad Shafiq Rostam, 28, pemberian bot dan enjin baharu itu melambangkan permulaan baharu buat dirinya sebagai seorang nelayan.

Mohamad Shafiq yang juga dari unit nelayan Sungai Batu berkata, dia kini meneruskan legasi arwah bapanya sebagai nelayan selepas lelaki tersebut meninggal dunia akibat serangan jantung lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Datuk Seri Farizan Darus memberitahu, seramai 795 nelayan telah menerima bayaran ex-gratia berjumlah RM11.84 juta daripada 877 nelayan berdaftar untuk SIMP bagi projek Pulau Silikon.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri melalui PICSB kekal komited untuk menjaga kesejahteraan sosioekonomi komuniti nelayan bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih inklusif,” ujar beliau.

Difahamkan, sehingga kini, seramai 158 nelayan telah menerima bantuan bot baharu dan enjin berkuasa tinggi daripada keseluruhan 294 nelayan yang layak untuk menerima aset perikanan tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN