PTTI cipta rekod MBOR, 534 pelajar tuisyen raih semua A SPM 2025

PTTI cipta rekod MBOR, 534 pelajar tuisyen raih semua A SPM 2025

SITI Farhana Abu Osman (lima dari kanan) menunjukkan anugerah yang diterima PTTI daripada MBOR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat tuisyen, PTTI Group Sdn Bhd sekali lagi meraih pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga selepas seramai 534 pelajar bimbingan mereka berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Anugerah yang diterima PTTI daripada MBOR adalah ‘Most Straight A’s SPM Students in a Tuition’.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, pengiktirafan yang diterima itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PTTI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan digital di Malaysia selepas kejayaan terdahulu pada tahun 2022 dan 2024.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 31,987 gred A berjaya direkodkan oleh pelajar di bawah bimbingan PTTI dalam keputusan peperiksaan itu tahun lalu, dengan secara keseluruhan seramai 158,423 pelajar menerima manfaat melalui program seminar SPM yang dianjurkan sepanjang tahun tersebut.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan PTTI dalam memastikan pencapaian sebenar pelajar. Kami sentiasa memberi fokus kepada hasil dan kemenjadian pelajar, bukan sekadar menamatkan silibus pembelajaran,” katanya pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. 

Terdahulu, kira-kira 4,000 pelajar bersama ibu bapa menghadiri majlis tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan PTTI, Race Monsopiad memaklumkan, lebih 150,000 pelajar telah menerima manfaat daripada seminar yang dianjurkan.

“Sepanjang 2025, seramai 158,423 pelajar sudah dibantu. Bersempena pencapaian ini, PTTI akan menganjurkan Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula esok sehingga 10 Mei. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi kami,” katanya. 

Dalam pada itu, salah seorang pelajar cemerlang SPM 2025 yang juga penyanyi, Alyssa Dezek berkata, dia mula menyertai pusat tuisyen berkenaan sejak Tingkatan Tiga dan amat berpuas hati dengan pendekatan pembelajaran yang mudah difahami.

“Teknik pengajaran yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami, membolehkan saya menguasai pelajaran dalam masa singkat. Hasilnya, Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM,” jelasnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN