PRU16 lebih awal? - Utusan Malaysia

PRU16 lebih awal?

ANWAR Ibrahim berucap di hadapan lebih 9,000 ahli parti komponen ketika menyampaikan amanat sempena Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin diadakan lebih awal sebagai penyelesaian kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu mesyuarat melibatkan kepemimpinan utama gabungan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membuat keputusan tersebut.

Katanya, gabungan itu tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak, sebaliknya sedia memulangkan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan walaupun tempoh tamat penggal Parlimen Ke-15 adalah sekitar Disember tahun depan.

Tambahnya, PH tidak pernah mengkhianati mana-mana parti sepanjang tempoh lebih tiga tahun Kerajaan Madani.

“Kalau betul mereka rasa sudah tiba waktu pilihan raya bermula di Johor, sambung di Negeri Sembilan, mungkin kita ‘lempar’ biar rakyat tentukan satu Malaysia,” katanya ketika menyampaikan Amanat Pengerusi pada Konvensyen PH 2026 di sini, semalam.

“Kita dikejutkan dengan keputusan UMNO, Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi (Johor). Hari ini PH ambil keputusan tegas, kita akan bertanding di semua kawasan, saya akan bincang apakah kita sedia lakukan Selangor, Pulau Pinang, Pahang semua kawasan.

“Saya akan panggil pimpinan PH dalam masa terdekat apakah kita akan pilih adakan PRU seluruh negara, memang tarikhnya keputusan Perdana Menteri tetapi biarlah ia diputuskan bersama, saya dengar nasihat kawan-kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dihadapan lebih 9,000 ahli parti komponen sempena Konvensyen PH 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan akan bergerak secara solo dan tidak mengadakan kerjasama politik dengan PH dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN selepas mengambil maklum suara dan harapan kepemimpinan akar umbi BN dan UMNO Johor.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH bersedia untuk bertanding solo bukan sahaja di peringkat PRN, malah dalam PRU akan datang.

Katanya, bagaimanapun ruang kerjasama kepada mana-mana parti masih terbuka demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way. Jadi kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi.

“Kalau mereka mula langgar, kita akan jawab dengan tegas tetapi kalau mereka berunding dengan baik kita terbuka, saya sambut dengan baik, dengan sabar dan dengan bijak kerana mahu selamatkan negara,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kerjasama dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan kekal selagi tiada unsur pengkhianatan.

“Sepanjang tiga tahun Madani, kita tak pernah hasut kawan-kawan untuk lawan atau khianati sesiapa. Tiada sebab kita pecahkan kerjasama ini melainkan dikhianati oleh mereka. PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kental.

“Dalam Kerajaan Perpaduan, negeri dikuasai pembangkang pun saya gunakan semangat Perlembagaan dan tunaikan janji, ini bukan bererti kita lemah sebaliknya mesej jelas kita ambil pendekatan hikmah, berunding dengan baik tetapi jangan salah faham,” katanya.

Anwar turut menempelak segelintir pemimpin di Johor yang mendakwa kejayaan pembangunan infrastruktur serta ekonomi direkodkan merupakan hasil usaha kerajaan negeri semata-mata.

“Ada pembangunan dan projek kerajaan pusat tetapi ditulis kerajaan negeri, jangan lengah, gendang dah dipalu perang diisytiharkan, media kerajaan perlu mainkan peranan lebih efektif,” katanya.

Anwar berkata, beliau bercadang bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding mengenai keputusan BN bertanding solo PRN Johor.

Perdana Menteri berharap pertemuan itu dapat berjalan dengan baik untuk kebaikan kedua belah pihak.

Beliau berkata, selama ini Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama yang baik dengan Kerajaan Negeri Johor hingga mampu menarik pelaburan jutaan ringgit.

“Saya masih harap, walaupun pengumuman telah dibuat, saya masih harap. Saya akan berjumpa Presiden UMNO, saya (akan) kata rundinglah baik-baik, nak rebut apa?

“Di mana yang silap kita tak beri tolong. Saya tak berkira, saya tolong semua. Jadi, kalau berebut, di bawah, bergaduh. Apa yang penting ikthiar tolong rakyat,” katanya.

Berkenaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Anwar berkata, tiada pihak yang mahu menggadai Dasar Pendidikan Kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN