PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan program matrikulasi berada sepenuhnya di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukannya di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Ia susulan gesaan agar KPT campur tangan dalam isu kemasukan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program berkenaan.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, segala urusan berkaitan pengambilan pelajar, penawaran tempat, rayuan serta pengurusan kemasukan ke program matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi KPM tanpa penglibatan KPT.
“KPT memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Tuan Preakas Sampunathan berhubung isu kemasukan seorang pelajar cemerlang SPM ke program Matrikulasi.
“Kenyataan tersebut jelas mengandungi kekeliruan fakta dan memperlihatkan kegagalan memahami struktur sebenar sistem pendidikan negara apabila KPT dipersalahkan dalam isu yang berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa KPM.
“Program matrikulasi merupakan program di bawah kelolaan KPM bukannya KPT,” katanya.
Sebelum ini, Preakas berkata, kegagalan pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM untuk mendapat tempat dalam program matrikulasi tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan sudah memberi jaminan pelajar memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat dalam program berkenaan.
Mengulas lanjut, KPT turut berkata, tindakan mengaitkan KPT serta mendesak Menteri Pendidikan Tinggi untuk campur tangan dalam urusan yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan adalah tidak tepat, tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan rakyat.
“KPT turut kesal apabila isu melibatkan masa depan pelajar digunakan secara tergesa-gesa untuk menyerang pihak tertentu tanpa semakan fakta yang menyeluruh terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN










