Kelewatan agih baja: SPRM mula bertindak

Kelewatan agih baja: SPRM mula bertindak

LAPORAN muka hadapan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mula disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan itu bukan sahaja menjurus kepada kemungkinan wujudnya unsur kesalahan jenayah malah meliputi aspek kelemahan tatakelola yang menyebabkan berlakunya kelewatan bekalan berkenaan.

Setakat ini, seorang saksi da­ripada Pertubuhan Persauda­ra­­­an Pesawah Malaysia (PeSA­WAH) telah dipanggil dan di­­­­­rakam percakapan manakala be­­­­­berapa dokumen berkaitan tu­­rut diperoleh susulan aduan di­­terima SPRM pada 26 Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, lebih ramai individu turut akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Ya, kami akan panggil lagi individu-individu berkaitan. Siasatan dibuka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Setakat ini seorang saksi daripada PeSAWAH telah dirakam percakapan dan kami menerima beberapa dokumen berkaitan.

“Siasatan dilakukan SPRM Kedah, bukan sahaja daripada aspek jenayah namun terma­suk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau menambah, siasatan dilakukan hasil aduan berhubung kelewatan pembekalan baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memenuhi keperluan kawasan MADA berkeluasan 100,000 hektar.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menyiasat proses pemberian kontrak bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA susulan kelewatan yang menjejaskan golongan berkenaan.

Kata Anwar, siasatan perlu meneliti sama ada proses pemberian kontrak itu dilaksanakan dengan betul selain memastikan syarikat yang diamanahkan benar-benar melaksanakan tanggungjawab seperti dipersetujui.

“Kalau hendak dakwa, SPRM masuk, kaji balik proses ini,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob mengesahkan telah memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan isu kelewatan pembekalan baja tersebut.

Namun beliau memberitahu tidak dapat mengulas secara terperinci proses itu termasuk butiran keterangan yang dibimbangi akan mengganggu proses siasatan SPRM.

“Namun apa yang saya boleh katakan kami mempertikai kaedah pemilihan syarikat yang dilakukan oleh Lembaga Perolehan KPKM yang menguruskan proses itu.

“Kerana daripada apa yang kami difahamkan keputusan pemilihan syarikat yang telah dibuat oleh MADA berubah apabila proses itu sampai di peringkat KPKM dan Kementerian Kewangan (MoF),” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, MADA sudah membuat penilaian awal terhadap syarikat pembekal yang dipilih terutama dalam aspek kapasiti pengeluaran bahan dan keupayaan kewangan syarikat.

“Mengapa syarikat yang dimaklumkan mendapat markah penilaian tinggi tidak dipilih untuk membekal baja sebatian tambahan atau baja tiga kepada petani di kawasan MADA sebaliknya pembekal lain yang dapat,” katanya.

Abdul Rashid berkata, para pesawah tidak pernah berdepan isu kelewatan baja yang amat serius seperti kali ini sehinggakan pihak berkuasa termasuk SPRM terpaksa bertindak.

Beliau sehubungan itu meletakkan kepercayaan kepada agensi berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci tanpa melepaskan pihak yang mungkin terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan.

“Masalah kelewatan pembekalan baja ini bukan hanya menyebabkan kemerosotan hasil dan menjejaskan pendapatan petani sahaja tapi boleh mengancam sekuriti makanan negara.

“Jadi kami harap tidak ada pihak yang akan dilindungi jika mereka terlibat dalam sebarang ketirisan dan tindakan tegas harus diambil agar masalah yang membelenggu para petani diselesaikan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×